Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
APMM selamatkan 6 pemancing terkandas di laut
Diterbitkan:  Sep 21, 2017 5:41 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tawau berjaya menyelamatkan enam pemancing tempatan di perairan Inderasabah di sini yang terkandas selepas enjin bot mereka mengalami kerosakan, pagi tadi.

Pengarah Maritim Daerah, Kepten Maritim Romli Mustafa berkata pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC), Kota Kinabalu telah menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada jam 10.11 pagi daripada seorang pemancing Sabri Abdul dari Kg. Air, Batu 4 Tawau memaklumkan bot pancing yang dinaiki bersama lima lagi rakannya mengalami kerosakan.

"Sejurus menerima maklumat anggota bot Banggi 12 dan Banggi 13 APMM yang sedang melakukan tugas rondaan di sekitar perairan tersebut diarahkan ke lokasi kejadian bagi mengesan dan memberi bantuan aset kepada mangsa,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Romli berkata pada jam 11.20 pagi bot peronda yang digerakkan tiba di lokasi dan berjaya menemui enam pemancing lelaki bersama sebuah bot pancing yang sedang hanyut lebih kurang dua batu nautika dari pantai Inderasabah.

"Kesemua enam pemancing berumur dalam lingkungan 22 hingga 28 tahun itu dijumpai selamat dan tiada sebarang kecederaan.

"Mereka dipindahkan menaiki bot APMM dan bot pancing ditunda masuk ke jeti Kg. Air, Batu 4 Tawau seterusnya diserahkan kepada ahli keluarga mereka,"katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau menasihatkkan komuniti nelayan dan pemancing bot-bot kecil membuat persiapan dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya sebelum keluar ke laut berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Katanya, sebarang maklumat katanya berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang serta kejadian kecemasan di laut boleh dilaporkan dengan menghubungi terus di MERS 999 atau di talian 089-752115 Pusat Operasi Maritim Tawau.

Bot rosak

Sementara itu 10 lelaki warga Indonesia berdepan detik cemas apabila bot perdagangan barter yang dinaiki mereka mengalami kerosakan di Perairan Benut, Pontian, dekat sini, awal pagi ini.

Pengarah Maritim Daerah Johor Bahru Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1.46 pagi ketika bot KLM Star One yang membawa muatan perabot dan barangan runcit itu, dalam perjalanan dari Batu Pahat menuju ke Batam, Indonesia.

Bagaimanapun, laporan kejadian hanya diterima pihaknya pada pukul 3 pagi sebelum sebuah bot dan sebuah kapal dikerahkan ke tempat kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat, kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kesemua kru itu yang berusia antara 24 dan 49 tahun, kini berada di Pejabat Maritim 6 Johor Bahru sementara menunggu agen kapal dan konsulat Indonesia menguruskan hal kepulangan mereka.

"Kapal didapati mengalami kerosakan pada sisi sebelah kanan yang mengakibatkan kebocoran besar dan mendorong air masuk dengan cepat. Bagaimanapun kesemua kru diselamatkan oleh sebuah kapal dagang lain yang berada berhampiran dengan tempat kejadian sebelum dipindahkan ke kapal maritim," kata beliau.

Justeru itu, beliau mengingatkan agar komuniti maritim segera melaporkan sebarang kemalangan di laut kepada pihaknya supaya tindakan mencari dan menyelamat dapat dikoordinasikan dengan secepat mungkin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS