Paling Popular
Terkini

GLOBAL Jabatan Siasatan Khas (DSI) Thailand telah menetapkan satu kes berprofil tinggi melibatkan subsidiari sebuah syarikat Malaysia di bawah ‘kes khas” berhubung tuduhan melanggar Akta Perniagaan Luar Thailand 1999.

Jabatan itu boleh menetapkan satu siasatan di bawah “kes khas” itu mengikut Seksyen 21 Akta Penyiasatan Kes Khas 2004 jika ia menepati satu profil jenayah atau jenayah rentas sempadan serius yang antara lain boleh menjejaskan ekonomi atau kewangan negara.

Timbalan Ketua Pengarah DSI Kol Suriya Singhakamol yang mendedahkan perkara itu kepada Bernama baru-baru ini berkata, mereka menjangka untuk mengemukakan kertas siasatan mereka berhubung subsidiari sebuah syarikat Malaysia itu kepada Jabatan Peguam Negara, pada November.

"Kami telah menerima kes itu sebagai satu “kes khas” dan akan mensasarkan pemilik syarikat dan pemegang sahamnya. Kami (DSI) sebenarnya telah berkali-kali memanggil orang yang dituduh namun mereka tidak pernah hadir kerana mereka sentiasa bergerak dan sukar untuk dihubungi.

Namun, kami tidak akan menunggu mereka, kami akan meneruskan siasatan kami dan menjangka untuk membawa kes itu kepada pendakwa (Jabatan Peguam Negara) November ini," katanya.

Kira-kira 50 warga Thai yang bekerja dengan syarikat Malaysia itu juga telah dipanggil untuk disoal berhubung operasi perniagaannya.

Suriya juga mendedahkan syarikat Malaysia itu mempunyai 24 lagi subsidiari di Thailand, kebanyakannya di wilayah paling selatan negara ini dan terlibat dengan pelbagai jenis perniagaan, antara lain daripada perhotelan kepada hartanah dan pembangunan hartanah.

Bernama difahamkan bahawa siasatan ke atas syarikat Malaysia itu melibatkan tuduhan pengubahan wang haram, menipu struktur pemegang saham syarikat bagi menyembunyikan pemilikan asing perniagaan dan memiliki plot tanah (orang asing dilarang daripada membeli tanah di Thailand).

Ia juga dituduh mendapatkan sejumlah besar modal secara haram dari luar negara, menjalankan operasi perniagaan yang boleh menjejaskan ekonomi Thailand dan mengelak cukai.

Tuduhan tersebut berada di pelbagai peringkat siasatan oleh agensi penguatkuasaan Thai yang berbeza. DSI yang bebas daripada polis, beroperasi di bawah Kementerian Keadilan dan melaksanakan tugas yang sama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

Siasatan ke atas subsidiari ini merupakan sebahagian daripada penyiasatan secara meluas oleh pihak berkuasa Thai ke atas syarikat induknya kerana disyaki menjalankan kegiatan perniagaan yang boleh menjejaskan kepentingan ekonomi Thailand.

Selain DSI, lapan lagi agensi Thai termasuk Pejabat Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik, Jabatan Hasil, Jabatan Kastam, Jabatan Pembangunan Perniagaan, Jabatan Peguam Negara dan Bank of Thailand, juga menyiasat syarikat Malaysia terbabit.

Baru-baru ini, sekumpulan pegawai kanan penguatkuasaan Thai datang ke Malaysia di mana mereka bertemu pegawai penguatkuasaan Malaysia sebagai sebahagian daripada siasatan mengenai syarikat itu.

Malaysia juga telah mewujudkan pasukan petugas pelbagai agensi yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi menyiasat syarikat itu.

Pihak berkuasa Malaysia juga telah menyerbu beberapa premis syarikat terbabit dan membekukan akaun syarikat yang mengandungi ratusan juta Ringgit dalam simpanan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS