Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kesatuan: Pekerja MAS dipecat kerana berat badan

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) mendakwa Malaysia Airlines Bhd (MAS) memecat pekerjanya atas alasan berat badan tidak ideal.

Presiden Nufam Ismail Nasaruddin hari ini menunjukkan surat pemecatan itu kepada pihak media dan menyifatkannya sebagai “diskriminasi”.

Surat bertarikh 14 September itu bertajuk: “Cabin Crew Weight Management Program - first wave (2016): Termination”.

Ia memberikan alasan pemecatan dibuat kerana “terus gagal mencapai berat badan ideal seperti dalam manual penampilan syarikat”, walaupun sudah menjalani program pengurusan berat badan selama 18 bulan.

Surat yang ditandatangani oleh seorang pengurus kanan MAS itu menjanjikan pampasan sewajarnya, seperti dipersetujui dalam kontrak kerja.

Dalam sidang media di Subang Jaya hari ini, Ismail berkata lima anak kapal yang ditamatkan perkhidmatan – tiga lelaki dan dua wanita – berumur lebih 50 tahun dan sudah bekerja dengan syarikat lebih 20 tahun.

Nufam bercadang membawa kelima-lima kes itu ke Mahkamah Perindustrian.

Sementara itu, MAS berkata perkara itu adalah urusan dalaman dan tidak akan dibincangkan secara terbuka.

“Kesemua proses-proses dalaman telah diikuti sebelum kami membuat keputusan itu,” kata pasukan komunikasi korporatnya dalam e-mel kepada Malaysiakini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS