Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Status kebankrapan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias Datuk Lajim Ukin hari ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini, Lajim berkata beliau dimaklumkan tentang pembatalan status kebankrapannya itu oleh peguamnya Datuk Maijol Mahap pagi tadi.

Beliau menjelaskan pengisytiharan kebankrapan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Sept lepas susulan kegagalan seorang pembeli sebuah kereta Range Rover yang pernah dimilikinya untuk menyambung pembayaran pinjaman bank ke atas kereta itu.

“Sejurus sahaja saya mengetahui mengenai notis kebankrapan itu (daripada Jabatan Insolvensi), saya telah mengatur pembayaran di CIMB Bank yang berjumlah RM185,000 dan pagi semalam, keseluruhan jumlah tersebut telah dibayar.

“Pada petang semalam, peguam saya iaitu Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Datuk Maijol Mahap telah memfailkan permohonan untuk membatalkan kebankrapan ke atas saya dan pagi tadi, Datuk Maijol telah memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi telah membatalkannya,” katanya.

Susulan pengisytiharan kebankrapan itu, Lajim berkata beliau dilucutkan jawatan sebagai presiden Parti Harapan Rakyat Sabah dan Ketua Bahagian Beaufort secara automatik mengikut Seksyen 9A Akta Pertubuhan 1966.

Untuk itu, beliau berkata majlis tertinggi parti berkenaan memilih Maijol untuk memangku jawatan presiden parti berkuat kuasa 14 Sept.

“Walaupun saya sudah dikeluarkan (dibatalkan) daripada kebankrapan pagi tadi, untuk saya kembali sebagai presiden dan ketua bahagian Beaufort, saya perlu mengikut perlembagaan parti,” katanya.

Lajim berkata mesyuarat agung tahunan parti itu yang dijangka diadakan pada 26 Okt depan sahaja yang boleh membuat keputusan sama ada beliau diterima kembali memegang jawatan itu atau tidak,

Mengenai kedudukannya sebagai ADUN Klias, beliau berkata beliau telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Syed Abas Syed Ali petang semalam menjelaskan keadaan yang berlaku ke atasnya.

"Terpulang kepada speaker untuk menentukan kedudukan saya sebagai ADUN,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS