Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendakwah sebut hak bukan Islam, mufti kata jaga sensitiviti

Islam tidak melarang atau menafikan hak masyarakat bukan Islam untuk minum minuman keras, kata pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin.

Ketua Biro Agama PKR itu berkata, sekiranya Better Beer Fetival dianjurkan khusus kepada masyarakat bukan Islam, maka ia tidak seharusnya menjadi isu kepada orang Islam.

"Semua pihak kena bertanggungjawab. Kalau itu hak bukan Islam kita kena serahkan hak itu, walaupun kita tak suka," katanya kepada Malaysiakini.

Wan Ji turut berkata penganjuran tersebut boleh dibuat dalam keadaan tertutup tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Bagaimanapun pendakwah itu kesal kerana orang Islam seolah-olah mempromosikan penganjuran pesta arak itu dengan memberikan ulasan dan bantahan di media sosial.

“Bagi saya, yang bisingkan isu ini adalah dari kumpulan orang Islam. Kalau orang Islam tak bising, kita pun tak tahu. Saya tak tahu kenapa orang Islam itu sendiri mempromosikan acara itu secara tak langsung.

“Kalau dia (orang Islam) diam, tak apa lah. Tapi orang Islam bising, nak buat bantahan walaupun acara tu tak libatkan orang Islam.

“Sebenarnya orang Islam yang terlalu sensitif tak tentu pasal, dia tak tahu hak orang Islam dan hak orang bukan Islam, akhir sekali dia keluarkan berita sampai pengetahuan orang Islam dan umum,” katanya.

Wan Ji turut berkata selama ini negara ini mengecapi keharmonian kaum dan agama apabila boleh menghormati adat resam budaya masing-masing.

Beliau turut mengambil contoh perayaan Thaipusam melibatkan penganut Hindu dan sambutan Hari Raya Korban yang selama ini disambut tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Tak perlu tular kempen

Bagi Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor pula semua pihak di negara ini perlu peka terhadap sensitiviti dan menghormati agama masing-masing.

Selain itu katanya, penganjuran pesta seperti itu walaupun hanya melibatkan orang bukan Islam, ia tidak seharusnya ditularkan kepada umum sehingga boleh menimbulkan ketegangan antara penganut berlainan agama.

“Kita minta orang bukan Islam hormati perasaan orang Islam, sensitiviti orang Islam supaya jangan dikempen dan didedahkan.

“Kalau mereka tular dan viralkan, ia seolah-olah cabar sensitiviti orang Melayu dan Islam dan cabar perlembagaan kita. Jadi, untuk nak elak itu, kita tak perlu tular-tularkan kempen besar-besaran, kalau nak buat ajak la kawan-kawan mereka buat senyap-senyap begitu,” katanya.

Sementara itu Mufti Kelantan Datuk Mohamad Syukri Mohamad pula berkata sekiranya semua pihak sudah faham dan sedia menghormati agama lain, perbalahan mengenai isu seperti pesta arak tidak akan berlaku.

Penganjuran Better Beer Festival 2017 mendapat bantahan pelbagai pihak selepas mendapat liputan meluas media hingga memaksa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan permit acara berkenaan.

Lihat Komen
ADS