Banjir di Kedah, satu lagi pusat pemindahan dibuka
Sebuah lagi pusat pemindahan dibuka di Dewan Kampung Sungai Pial, Merbok, Kuala Muda menjadikan keseluruhan lima pusat dibuka sehingga pukul 5 petang tadi.
Penyelaras Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Kapten Pertahanan Awam Saifuddin Abdullah berkata jumlah mangsa di lima pusat terbabit meningkat daripada 461 mangsa (97 keluarga) kepada 669 mangsa (149 keluarga).
"Pusat pemindahan di Dewan Kampung Sungai Pial dibuka pada pukul 10 pagi tadi dan menempatkan 66 mangsa daripada 14 keluarga.
"Manakala dua lagi pusat pemindahan di daerah Kuala Muda iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kechil, Mukim Bukit Meriam dan Dewan Kampung Jilid 8 di Mukim Bujang, masing-masing menempatkan seramai 390 mangsa (83 keluarga) dan 48 mangsa (11 keluarga)," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, seramai 20 mangsa daripada empat keluarga kekal di pusat pemindahan di Dewan Kampung Balai, Mukim Kuala Kedah, dan mangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changloon, Mukim Temin meningkat kepada 145 mangsa daripada 32 keluarga.

