Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah cuba melakukan rampasan kuasa pada 16 September 2008.

Sebaliknya, timbalan presiden PKR itu berkata apa yang berlaku pada ketika itu ialah ketidakyakinan anggota parlimen BN itu sendiri kepada kepimpinan mereka.

"Itu tak benar, apa berlaku seperti dinyatakan ialah ahli parlimen Umno dan BN (mereka) tak senang dengan dasar BN, termasuk di Sabah dan Sarawak

"Mereka membuat keputusan dasar. Pakatan Rakyat (ketika itu) bukan membeli sokongan (mereka), suasana itu berbeza," kata Azmin ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Selangor Biobay di Pulau Indah, hari ini.

Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebelum ini dilapor sebagai berkata tindakan Azmin menggambarkan cubaan rampasan kuasa oleh BN di Selangor sebagai tindakan tidak demokratik.

Pada masa sama Abdul Rahman mengingatkan anggota parlimen Gombak mengenai ura-ura berlaku peralihan kuasa pada 16 Sept 2008 apabila sejumlah anggota Dewan Rakyat akan mengalih sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat.

Perkembangan itu menyaksikan sejumlah anggota parlimen dibawa melawat ke luar negara atas alasan tugasan rasmi.

Bagaimanapun apa yang diuar-uarkan oleh pembangkang - terutama ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim - tidak menjadi kenyataan.

Secara khusus, Abdul Rahman berkata, Azmin tidak boleh menafikan peranannya dalam cubaan "rampasan kuasa" oleh Anwar itu.

Selepas Noh gagal

Terdahulu memetik kenyataan Azmin The Malaysian Insight melaporkannya sebagai mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menghormati amalan demokrasi.

Sementara itu, Azmin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa mengucapkan "selamat berjaya" kepada tiga bekas menteri besar negeri Selangor iaitu Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohamad Khir Toyo yang disebut bekerjasama untuk merampas kembali Selangor daripada Pakatan Harapan.

Azmin juga berkata beliau yakin usaha ketiga-tiga bekas menteri besar itu tidak akan berjaya ekoran rekod buruk mereka.

"Kita pun kenal siapa tiga orang (bekas menteri besar) ini dan kenapa mereka menjadi mantan.

"Semua orang tahu kenapa mereka jadi mantan sekarang. Kalau itu sahaja kualiti yang ada, semoga berjaya untuk mereka.

"Kepimpinan Umno Selangor sekarang gagal menarik sokongan rakyat. Mereka terpaksa guna orang lama-lama untuk tarik sokongan," kattanya.

Muhammad merupakan menteri besar Selangor dari 1986 hingga 1997, manakala Abu Hassan dari 1997 hingga 2000 dan Dr Khir dari 2000 hingga 2008.

Pengerusi Perhuhungan BN Selangor, Tan Sri Noh Omar dilaporkan berkata Muhammad, Abu Hassan dan Khir bakal digabungkan bagi memastikan BN menawan kembali Selangor pada pilihan raya umum ke-14.

Mengulas lanjut, Azmin berkata gabungan itu juga tidak akan berjaya berdasarkan sokongan rakyat terhadap HARAPAN dan kejayaan yang dilakukan di Selangor.

"Dia nak ambil balik Selangor? Tiga bekas menteri besar itu bukan 3+1 ke?

"Mereka tak berjaya sebab Noh (pengerusi Umno Selangor) sendiri tak berjaya tarik pengundi muda masa ini," katanya.

Lihat Komen
ADS