Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenyataan pengerusi Asean tentang Rohingya tak tepat

Malaysia mengasingkan diri daripada kenyataan pengerusi Asean mengenai situasi kemanusiaan di wilayah Rakhine yang dikeluarkan di New York semalam, kerana berpendapat ia memberi gambaran yang salah mengenai keadaan sebenar.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata kenyataan berkenaan dibuat tidak berdasarkan konsensus memandangkan Malaysia telah menyatakan kebimbangannya berhubung isu itu namun dokumen pengerusi Asean tidak mencerminkan keadaan yang dimaksudkan.

"Kenyataan itu juga tidak menyatakan etnik Rohingya sebagai satu daripada komuniti yang terjejas.

"Walaupun Malaysia mengutuk serangan ke atas pasukan keselamatan Myanmar yang dilancarkan oleh kumpulan yang menggelar Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) pada 25 Ogos, operasi pembersihan berikutnya oleh pihak berkuasa Myanmar tidak wajar kerana ia telah mengakibatkan kematian ramai orang awam yang tidak bersalah dan lebih 400,000 menjadi pelarian.

"Malaysia melahirkan kebimbangan yang amat sangat mengenai kekejaman yang mencetuskan krisis kemanusiaan berskala besar dan tidak dapat diabaikan dunia malah harus diambil tindakan bagi menanganinya," kata beliau dalam satu kenyataan malam tadi.

Anifah mengulas kenyataan pengerusi Asean mengenai situasi kemanusiaan di wilayah Rakhine.

Antara lain ia menyatakan menteri-menteri luar kesatuan itu mengutuk serangan ke atas pasukan keselamatan Myanmar pada 25 Ogos 2017 dan semua tindakan keganasan yang mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam, kemusnahan rumah dan pemindahan sebilangan besar penduduk.

Kenyataan pengerusi juga menyatakan bahawa menteri-menteri luar Asean sedia menyokong kerajaan Myanmar dalam usaha mewujudkan keamanan, kestabilan, kedaulatan undang-undang dan memupuk keharmonian dan perdamaian antara pelbagai komuniti serta pembangunan yang berkekalan lagi adil di Rakhine.

Anifah berkata, Malaysia mengesa dengan sekeras-kerasnya supaya kerajaan Myanmar menamatkan keganasan, menghentikan kemusnahan kehidupan dan harta benda, membenarkan akses tanpa halangan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Muslim Rohingya dan semua komuniti yang terjejas, dan menangani masalah pelarian Rohingya.

Beliau berkata penyelesaian jangka panjang yang berkekalan terhadap punca konflik tersebut harus dicari untuk membolehkan masyarakat Rohingya dan komuniti lain yang terhejas dapat membina semula kehidupan mereka.

"Malaysia juga menggesa Myanmar memenuhi komitmennya untuk segera melaksanakan cadangan-cadangan muktamad Suruhanjaya Penasihat Wilayah Rakhine.

"Untuk memenuhi peranannya Malaysia telah menghantar bantuan kemanusiaan ke Bangladesh pada 9 Sept 2017 dan akan meneruskan penghantaran lebih banyak bantuan," kata beliau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS