Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Banjir di Pulau Pinang: Lepas laporan polis, PAS ke SPRM
Diterbitkan:  Sep 25, 2017 12:30 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Selepas membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang yang didakwa menjadi penyebab utama banjir di negeri itu, hari ini, PAS membuat laporan sama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Laporan itu supaya SPRM menyiasat penglibatan kerajaan negeri yang diterajui oleh DAP dalam kejadian bencana banjir kilat.

Portal Utusan Malaysia memetik pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS negeri, Saiful Lizan Mohd Yusoff sebagai berkata, SPRM menerusi Kokus Perlindungan Alam Sekitar dan Anti Rasuah (EPACC) mempunyai kuasa bagi menyiasat bencana itu yang disifatkan semakin serius.

Katanya, tindakan itu perlu bagi menangani mana-mana individu termasuk kerajaan negeri yang terlibat dengan pencemaran alam sekitar sehingga boleh menyebabkan bencana alam.

“Laporan ini dikemukakan kepada SPRM supaya mereka memandang serius kepada isu alam sekitar sekali gus bertindak ke atas pihak bertanggungjawab dan membawanya ke muka pengadilan,” katanya yang dipetik portal itu.

Jumaat lalu, Pengerusi Lajnah Tanah PAS negeri, Yaacob Omar ketika membuat laporan polis berkata, daripada statistik yang diperolehi, lebih 20 kejadian banjir dilaporkan berlaku dalam tempoh setahun.

Beliau dipetik oleh akhbar Sinar Harian sebagai berkata, PAS mendapati punca kekerapan banjir sejak kebelakangan ini adalah disebabkan tiada perancangan yang baik dibuat sebelum pembangunan dilaksanakan.

“Dahulu, banjir ada berlaku tetapi tidak sekerap ini, dalam setahun dua tiga kali saja. Tetapi sejak kebelakangan ini, banjir makin kerap berlaku. Apa yang kita lihat, kerajaan negeri tidak menjalankan kajian yang sepatutnya sebelum meluluskan projek pembangunan.

“Apabila menjalankan pembangunan, sepatutnya mereka menyediakan sistem parit dan saliran yang baik terlebih dahulu. Namun apa yang berlaku, sistem perparitan dan saliran langsung tidak diambil peduli.

Jika parit tidak dibuat dengan betul, maka air akan melimpah dan menyebabkan banjir,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Lihat Komen
ADS