Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA: Imigresen tak perlu rujuk Jakim untuk senarai larangan
Diterbitkan:  Sep 25, 2017 1:10 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak seharusnya menentukan senarai larangan Jabatan Imigresen, kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Bercakap kepada pemberita selepas konvensyen MCA Selangor semalam, Liow berkata peranan Jakim adalah untuk memantau aktiviti berkaitan dengan umat Islam dan hal-hal menyentuh agama itu.

"Apabila ia berkaitan dengan dasar moral dan memantau tingkah laku individu, ini adalah perkara berbeza. Ia tidak sepatutnya digabungkan (dengan tugas-tugas Jakim)," katanya dalam sebuah video yang disiarkan oleh Star Online.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Mustafar Ali, Sabtu lalu yang berkata, bahawa jabatannya telah menerima maklumat daripada polis dan Jakim mengenai individu yang seharusnya diharamakan daripada menghadiri acara "White Party Bangkok" yang sepatutnya dijadualkan pada 30 setember ini.

DivineBliss, lokasi yang dikatakan bagi acara itu, memberitahu Malaysiakini bahawa tidak ada majlis seumpama itu yang akan diadakan di tempat mereka.

Walau bagaimanapun, risalah promosi untuk acara itu mendapat liputan meluas oleh media tempatan kerana difahamkan ia adalah majlis mesra gay.

Sementara itu, Liow, merujuk kepada acara itu, berkata tidak perlu bagi Jabatan Imigresen melarang individu tertentu daripada memasuki negara itu untuk menyertai parti berkenaan.

Dengan mengambil penggunaan alkohol di Malaysia sebagai contoh, beliau berkata masyarakat bukan Islam mempunyai hak untuk memilih cara hidup mereka.

"Minum (alkohol) mungkin sesuatu yang berdosa dalam Islam, tetapi bagi orang bukan Islam, kita mempunyai kebebasan untuk memilih untuk meminum atau tidak. Bujan terpulang bagi mereka (pihak berkuasa) untuk membuat keputusan.

"Sebagai contoh, saya seorang vegetarian, saya tidak minum, tetapi saya menghormati kebebasan rakyat untuk minum, ini adalah hak saya.

"Sama ada minum atau tidak, itu adalah pilihan kami. Ia tidak sepatutnya ditentukan oleh Jabatan Imigresen atau Jakim," katanya.

Lihat Komen
ADS