Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi tuntut anggota PAS tunaikan janji
Diterbitkan:  Sep 25, 2017 1:26 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru anggota parti itu hadir ke perhimpunan Fastaqim 2.0 anjuran mereka di Kuala Terengganu pada 29 dan 30 September ini.

Katanya, anggota parti itu harus “menunaikan janji dan taat setia kepada perjuangan Islam dan keazaman untuk menyelamatkan negara tercinta ini.”

“Semoga segala pengorbanan untuk perjuangan Islam dan usaha bagi memastikan kemenangannya diberi ganjaran setimpal di sisi Allah SWT.

“Saya mendoakan para peserta selamat dalam perjalanan dan memandu berhati-hati di jalan raya dengan penuh berhemah,” katanya.

Perhimpunan itu dianjurkan bagi memberikan isyarat bahawa parti itu sudah bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya tahun depan.

PAS menyasarkan kehadiran 200,000 orang.

Ia diadakan di Terengganu kerana parti itu yakin dapat menawan kembali negeri itu yang terlepas daripada genggaman mereka pada 2004 setelah sepenggal memerintah.

Fastaqim dalam bahasa Melayu bermaksud kebangkitan.

Himpunan itu kali pertama diadakan di Kota Bharu, yang dilihat sebagai perhimpunan besar pertama mereka setelah tidak lagi bersama Pakatan Rakyat.

Dalam kenyataan di Harakahdaily hari ini, Hadi berkata “gelombang hijau” PAS adalah kebangkitan rakyat untuk kembali mempertahankan Islam dan menyelamatkan negara dengannya.

“Pendekatan kita adalah menyatukan kepelbagaian kaum berkonsepkan masyarakat madani dengan menghormati hak Islam untuk diamalkan dan memberi jaminan keadilan untuk masyarakat bukan Islam serta menentang sikap cauvanis dan perkauman sempit yang diamalkan oleh parti-parti tertentu,” katanya.

Lihat Komen
ADS