Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
APM giatkan latihan dan persediaan hadapi banjir

Angkatan Pertahananan Awam Malaysia (APM) Wilayah Timur giat mengadakan persediaan dan latihan menggunakan aset baharu bagi menghadapi musim monsun timur laut hujung tahun ini.

Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan APM PPj (PA) Ahmad Afandi Mohammad berkata pihaknya telah mendapat kemudahan aset terbaharu seperti lori seberat lapan tan dan menyelenggara bot secara berterusan.

"Tinjauan kali ini adalah bagi memastikan pangkalan hadapan kami dilengkapi dengan keperluan yang mencukupi dalam menghadapi banjir kelak di samping memastikan kesejahteraan rakyat dapat terus dijaga...namun begitu selain logistik, aspek yang turut kita titikberatkan juga ialah kemudahan perubatan dan bekalan makanan yang mencukupi.

"Mesyuarat hari ini akan lebih kepada pelarasan dalam mencari persefahaman operasi bagi ketiga-tiga negeri di wilayah pantai timur untuk mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) memberi bantuan kepada mangsa secepat mungkin," katanya kepada pemberita pada Mesyuarat Khas Pengurusan Operasi Pantai Timur hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Operasi APM Terengganu merangkap setiausaha pengurusan bencana negeri Terengganu Mejar Amir Sharifuddin.

Beliau berkata, APM juga telah menubuhkan Pasukan Tindak Balas Komuniti yang berperanan mengambil tindakan awal sebelum pasukan utama tiba ke tempat bencana.

Katanya, sehingga kini 65,000 anggota APM, termasuk sukarelawan telah berdaftar di seluruh pantai timur.

"Kerajaan negeri juga sangat proaktif tentang persediaan pengurusan banjir...sehingga kini beberapa mesyuarat pengurusan telah dijalankan sebanyak dua kali iaitu Mac lalu dan pada bulan ini (September) bagi memastikan kesiapsiagaan semua agensi dan pegawai terutama di peringkat daerah untuk menghadapi banjir," katanya .

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS