Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jenayah sindiket terancang akan digempur habis-habisan'

Membanteras jenayah sindiket terancang secara habis-habisan adalah antara fokus utama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Ahmad Najmuddin Mohd yang baru dilantik memegang jawatan itu pertengahan September 2017 ini.

Ahmad yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini berkata beliau berjanji akan menggempur ketua-ketua sindiket perjudian, pelacuran dan gansterism di negeri-negeri bagi mencapai sasaran itu.

“Ia adalah selaras dengan amanat yang diberikan Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun yang mahu setiap ketua jabatan dan ketua-ketua polis negeri memberi tumpuan menumpaskan jenayah-jenayah berkaitan.

“Saya sendiri sudah ada senarai sindiket yang terlibat dan akan membuka fail-fail berkaitan bagi mengambil tindakan terhadap mereka menerusi Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya kepada kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir Timbalannya Datuk Huzir Mohamed dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Ahmad dalam pada itu memuji prestasi cemerlang Kontinjen Polis Terengganu dalam menurunkan kadar jenayah di negeri ini.

“Cuma di Terengganu kita akan fokus untuk menyelesaikan tiga kes bunuh berprofil tinggi yang hingga kini masih belum selesai iaitu dua di daerah Kuala Terengganu dan satu di daerah Besut.

“Satu pasukan petugas akan ditubuhkan dan diketuai timbalan saya bersama OCCI Terenganu untuk mengadakan siasatan susulan bersama pasukan yang ditubuhkan sebelum ini bagi memfokuskan kepada ketiga-tiga kes ini.

“Pada masa ini kami belum menemui petunjuk baharu kes-kes tersebut dan jika ada kami akan memaklumkan kepada pihak media dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada Oktober 2015, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah Alias maut akibat ditembak pada jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di rumahnya di Kampung Alor Limbat, Bukit Payong, Marang selepas pulang daripada solat Jumaat.

Polis juga masih menyiasat kes pembunuhan sepupu Alias, Mat Jusoh Ali, 56, atau dikenali dengan panggilan Cikgu Zaki, yang ditembak dua bulan sebelum itu iaitu pada 9 Ogos.

Pada 27 Julai lalu seorang taukeh ikan mati ditembak oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 kira-kira 8.15 malam di di Pantai Teluk Bayu, Kuala Besut, Besut.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS