Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 1,983 orang

Jumlah mangsa banjir kilat di pusat pemindahan banjir di negeri ini bertambah kepada 1,983 orang malam ini berbanding 1,888 orang petang tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di Alor Setar malam ini, pertambahan berlaku apabila ada mangsa-mangsa yang kembali semula di 13 pusat pemindahan di daerah Kota Setar termasuk satu dibuka semula di Dewan Tokong Cina, Kubang Pasu membabitkan 32 orang mangsa.

“Mangsa-mangsa bertambah disebabkan rumah mereka kembali dinaiki air terutama di daerah Kota Setar yang menjadi 'last point' air banjir berkumpul sebelum ia surut ke laut, mangsa-mangsa ini akan bermalam di pusat pemindahan dan dijangka pulang pagi esok untuk membersihkan rumah,” kata kenyataan itu.

Sehingga pukul 8 malam ini, seramai 539 keluarga masih ditempatkan di 19 pusat pemindahan banjir di daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang.

Di Kota Setar, pusat pemindahan yang masih beroperasi ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, Alor Setar yang menempatkan 347 orang, SK Seri Gunung (152 orang), SK Alor Mengkudu (121 orang), Dewan Taman Sri Bagan (97 orang) dan Surau Pondok Kepala Bukit (88 orang).

Di Kepala Batas ialah Surau Assyakirin (79 orang), Masjid Kampung Lengkuas (46 orang), SK Bukit Pinang (102 orang), Dewan Wawasan Kampung Kelompang (39 orang), SK Suka Menanti (25 orang), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perak (13 orang), dan SK Taman Aman (sembilan orang).

Di Kubang Pasu membabitkan SK Kodiang Lama yang menempatkan 54 orang dan Pusat Rakan Sukan Tanah Merah di Pendang menempatkan 280 mangsa.

Di Pokok Sena ialah SK Bukit Hijau (427 orang), Dewan Kampung Permatang Limau (25 orang), dan Dewan Lubuk Keriang (35 orang), manakala Dewan Kampung Empa telah pun ditutup.

Kenyataan itu berkata, dijangka dengan keadaan cuaca yang semakin baik dan aliran sungai yang lancar, keadaan banjir di negeri ini akan semakin pulih menjelang esok.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS