Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pinda perlembagaan bagi perkukuh hak orang kurang upaya'

Kerajaan perlu mempertimbang untuk meminda Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan (mengenai kesaksamaan dan kesamarataan di sisi undang-undang) untuk menyebut secara khusus mengenai orang kurang upaya dan larangan diskriminasi ke atas mereka.

Presiden Rumah Amal Cheshire Sarawak, Datuk Seri Ang Lai Soon berkata sudah tiba masanya parlimen membuat peruntukan dengan segera bagi menguatkuasakan hak orang kurang upaya untuk mendapat pekerjaan, pendidikan dan akses kepada bangunan dan kemudahan awam.

Ang yang juga aktivis sosial terkemuka berkata kerajaan perlu menyediakan remedi atau penalti kerana melanggar peruntukan Akta Orang Kurang Upaya 2008.

“Memandangkan negara terus mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang, dan mungkin tidak lama lagi ia akan menikmati status negara maju, oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan menubuhkan Tribunal Hak Asasi Kurang Upaya Nasional.

Tribunal ini akan menyiasat sebarang pelanggaran akta dan mengenakan atau mengesyorkan penalti atau penyelesaian bagi ketidakpatuhan yang nampaknya berlaku setiap hari,” katanya semasa berucap pada mesyuarat agung tahunan Rumah berkenaan di Kuching, Sarawak hari ini.

Teks ucapannya dihantar kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Ang berkata sebahagian besar bangunan lama kerajaan tidak diubah suai bagi menyediakan kemudahan seperti tanjakan, lif, eskalator, kemudahan tandas yang boleh diakses, untuk kegunaan orang kurang upaya.

“Ini penting supaya orang kurang upaya boleh menggunakan dan menikmati semua kemudahan atau untuk mengambil bahagian dalam aktiviti di bangunan awam dan kerajaan seperti orang biasa yang lain,” katanya.

Ang berkata pada masa ini hampir semua orang kurang upaya yang menggunakan kerusi roda tidak dapat menggunakan perkhidmatan bas.

Beliau berkata keadaan ini tidak dapat diterima kerana ramai orang kurang upaya tidak memiliki kereta untuk mengangkut mereka.

“Dalam hubungan ini, saya berharap semua bas baharu yang akan berada di atas jalan raya perlu dilengkapi dengan tanjakan untuk orang kurang upaya. Saya yakin syarikat-syarikat bas juga ingin membuat sumbangan bagi membantu orang kurang upaya,” katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS