Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Semua skim KWSP wajib ditunaikan zakat'
Diterbitkan:  Sep 26, 2017 1:19 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Semua jenis skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) wajib ditunaikan zakat dengan syarat pekerjaan pencarum adalah halal.

Hukum itu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Perlis yang bersidang pada 6 Ogos lalu.

Ia dikongsi oleh muftinya Datuk Seri Mohd Asri Zainul Abidin di Facebook beliau pagi ini.

Berkaitan dividen pula, menurut jawatankuasa itu, ia tertakluk kepada hukum zakat jika daripada akaun simpanan syariah.

"Adapun dividen bagi akaun simpanan konvensional perlulah melalui proses pembersihan terlebih dahulu dan bakinya tertakluk kepada zakat," menurut fatwa itu lagi.


Jawatankuasa itu juga berkata seseorang Muslim hendaklah meletakkan wang simpannya ke dalam akaun syariah KWSP.

"Jika dia telah melanggar arahan syarak dengan meletakkan wangnya ke dalam akaun tidak patuh syariah sedangkan dia memiliki pilihan, maka hendaklah dia bertaubat dan wang dividen berkenaan hendaklah dibersihkan,” menurut fatwa itu.

Pautan kepada soalan lazim berkaitan akaun syariah KWSP turut disertakan dalam makluman itu.

Sementara itu, jawatankuasa fatwa Perlis juga berkata wang yang masih dalam simpanan tidak wajib dikeluarkan zakat oleh pencarum dan mengurusnya kepada tidak berlaku pemilikan sempurna.

Lihat Komen
ADS