Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Selepas lebih tiga jam pencarian bahan bukti di Taman Tasik Datuk Keramat di Kuala Lumpur, pasukan penyelam polis menamatkan operasi kira-kira 1.40 tengah hari tadi.

Menurut sumber, operasi pencarian ditamatkan selepas mereka tidak menemui sebarang objek seperti pemutar skru yang boleh dikaitkan dengan insiden kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah itu.

"Keadaan air yang keruh menyukarkan lagi pencarian ini.

"Bagaimanapun, hasil siasatan hari ini akan dihantar ke ibu pejabat untuk tindakan susulan," katanya kepada Bernama.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati empat anggota penyelam melakukan caraian ke dasar tasik kira-kira 10 meter dari tebing tasik berkenaan.

Pasukan penyelam itu dikerahkan ke taman tasik yang terletak di belakang Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung sejak 10.30 pagi yang turut disertai pasukan penyiasat dan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia.

Kebakaran pusat tahfiz itu pada awal pagi 14 Sept mengorbankan 21 pelajar dan dua guru yang juga warden akibat terperangkap di asrama di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat.

Kenderaan yang membawa pasukan berkenaan meninggalkan taman tasik itu pada pukul 2 petang.

Semalam, polis membawa ketujuh-tujuh remaja berumur antara 11 dan 18 tahun yang ditahan berkaitan kes kebakaran itu ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Pada Jumaat lepas, tempoh reman tujuh remaja itu disambung tujuh hari lagi sehingga 29 Sept bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

- Bernama

Lihat Komen
ADS