Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jumlah mangsa banjir kilat di pusat pemindahan banjir di Kedah petang ini menurun kepada 1,262 orang berbanding 1,706 orang, tengah hari tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di sini, jumlah mangsa banjir dijangka terus menurun ekoran paras air semakin menyusut dan dijangka ramai lagi akan dibenarkan pulang menjelang malam ini.

Setakat pukul 4 petang tadi, 375 keluarga masih ditempatkan di 11 pusat pemindahan banjir di daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang berbanding 487 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara banjir sebelum ini.

Di Kota Setar, pusat pemindahan yang masih beroperasi ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, Alor Setar membabitkan 347 mangsa, SK Seri Gunung (265 mangsa), SK Alor Mengkudu (85 mangsa), dan Surau Assyakirin, Kepala Batas (79 mangsa).

Selain itu, 39 mangsa masih ditempatkan di Dewan Wawasan Kampung Kelompang, enam di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perak, dan Kampung Tok Pauh dengan 12 orang mangsa.

Sementara itu, mangsa banjir di daerah Pokok Sena, ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di SK Bukit Hijau dengan 26 mangsa dan 32 mangsa ditempatkan di Dewan Lubuk Keriang.

Di Kubang Pasu hanya membabitkan SK Kodiang Lama yang menempatkan 56 mangsa dan Dewan Tokong Cina yang dibuka semula malam tadi yang menempatkan 32 mangsa telah ditutup petang ini.

Bagi daerah Pendang, satu pusat pemindahan yang masih dibuka iaitu di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah yang menempatkan 280 mangsa daripada 77 keluarga.

Dalam pada itu, Cawangan Komunikasi Korporat, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerusi kenyataannya di sini berkata, seramai 25 orang sukarelawan dari Kor Tani MADA bersama kakitangan MADA mengambil inisiatif melakukan pembersihan sampah sarap secara gotong-royong di tujuh buah jambatan di sepanjang Sungai Baru dan Kampung Titi Pondok Bedil di Alor Setar bagi melancarkan pergerakan air.

“Sekiranya keadaan paras air surut, sukarelawan-sukarelawan ini akan memfokuskan kerja pembersihan di surau, tabika serta rumah warga emas di kampung-kampung berkenaan sebagai satu khidmat masyarakat MADA yang selama ini hanya tertumpu kepada industri pertanian sahaja,” menurut kenyataan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS