Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Lagi video tular gaduh dengan penguat kuasa
Diterbitkan:  Sep 26, 2017 7:01 PM
Dikemaskini: 11:27 PM

Video seorang lelaki berperang mulut dengan beberapa anggota penguat kuasa kerajaan tempatan di Cheras kini menjadi tular di media sosial.

Dalam video kira-kira 4 minit itu, seorang lelaki dilihat menjerit-jerit kemarahan kepada dua anggota pasukan keselamatan yang berpakaian seragam, lapor New Straits Times (NST).

Akhbar itu difahamkan bahawa ia bermula apabila tayar keretanya dikunci kerana meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan, di pusat beli-belah Cheras Leisure Mall.

Ketegangan kemudian mewujudkan aksi tolak menolak. Kedengaran seorang menjerit “Pukul! Pukul lah!

Pegawai itu juga dicabar untuk membuka pakaian seragam dan berlawan dengannya.

Berdasarkan video, lelaki itu menggunakan kereta Perodua Myvi warna perak. Kunci padanya itu kemudian dibuka oleh seorang lelaki selepas itu.

Pemandu itu, dalam bahasa Cina, memberitahu orang ramai bahawa beliau hanya meletakkan kenderaan di situ kira-kira 5 minit sahaja.

Pihak yang merakan gambar itu juga turut dimarahi oleh pemandu itu.

You mau apa? Marilah,” jeritnya.

Dia cuba ditenteramkan oleh seorang wanita.

Tidak habis di situ, pemandu itu kemudian memasuki kereta dan mengambil satu objek kelihatan seperti kayu.

Video itu telah ditonton lebih 30,000 kali dan dikongsi hampir 300 kali oleh pengguna Internet.

NST sedang cuba mendapatkan reaksi pihak berkuasa.

Awal bulan ini, insiden seorang wanita tidak puas hati kepada penguat kuasa di Subang Jaya kerana mengunci tayar keretanya turut menjadi tular.

Wanita itu berkata beliau meletakkan kereta di kawasan orang kurang upaya (OKU) kerana “membantu OKU”.

Lelaki ditahan

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa polis telah menahan seorang lelaki yang bertengkar dengan anggota penguat kuasa DBKL itu.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Chong Kok Sin berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pukul 6.30 petang tadi selepas dia hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk memberi keterangan.

Menurut Chong, dua anggota penguat kuasa DBKL bertindak mengapit tayar sebuah kereta jenis Perodua Myvi kerana melakukan kesalahan meletakkan kenderaan di luar petak pada 12.46 tengah hari.

"Selepas itu, anggota DBKL menerima arahan untuk membuka kapit tayar kereta terbabit memandangkan pemilik kenderaan ingin membayar denda.

"Apabila anggota DBKL ke lokasi kejadian, berlaku perselisihan faham antara pemilik kenderaan dengan anggota DBKL dan beberapa individu lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata anggota penguat kuasa DBKL juga telah membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Sentul semalam.

"Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan," katanya.

Lihat Komen
ADS