Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Larang seluar pendek: Exco agama Kelantan tutup mulut

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan Datuk Nassuruddin Daud enggan mengulas larangan pemakaian seluar pendek bagi lelaki beragama Islam di negeri itu.

Beliau yang juga ketua penerangan PAS negeri sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) untuk memberikan penjelasan.

"Saya tak nak komen, orang buat isu jadi saya tak nak (komen). Malaysiakini suka buat isu, jadi biar pegawai yang jawab," katanya ketika dihubungi.

The Star semalam melaporkan seorang lelaki ditahan oleh pegawai JAHEAIK selepas turun daripada kereta untuk membeli burger, ketika dalam perjalanan ke gelanggang futsal, pada 25 September lalu.

Wan Khairul Hayyee Wali, 30, kemudian diberi notis untuk hadir ke sesi kaunseling bulan depan kerana melanggar Seksyen 5 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan No 2 (1985).

Jika gagal berbuat demikian, dia akan dipanggil ke mahkamah syariah serta berdepan risiko denda RM1,000 jika didapati bersalah.

Menurut laporan itu lagi, Wan Khairul tidak tahu-menahu tentang larangan tersebut.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan Datuk Hassan Mahmood berkata beliau perlu mendapatkan maklumat daripada JAHEAIK dahulu sebelum memberikan komen.

"Saya tak nak komen takut undang kontroversi, memang ada yang hubungi (meminta penjelasan). Biar saya dapat maklumat daripada JAHEAIK dulu kenapa dia keluarkan saman, beri peluang untuk saya mendapatkan penjelasan,” katanya lagi.

Menurut New Straits Times semalam, Ketua Penguatkuasa JAHEAIK Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata Wan Khairul tidak dianggap bersalah jika berseluar pendek semasa berada di gelanggang futsal.

"Ini bukan kes pertama, kami pernah mengeluarkan notis sama kepada tiga lelaki sejak tahun ini. Kesemuanya menghadiri sesi kaunseling," katanya seperti dipetik.

Lihat Komen
ADS