Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) mengeluarkan sebelas notis bagi kategori 'pemakaian tidak sopan', dalam operasi sama yang dilaporkan media semalam.

Pengarah JAHEAIK Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, operasi dijalankan bersama-sama agensi lain antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Kita telah membuat pemeriksaan di lokasi tersebut dan mengeluarkan 11 saman bagi kategori 'tidak sopan', iaitu kepada tujuh lelaki berseluar pendek dan empat perempuan yang tidak bertudung dan berpakaian ketat.

"Kesemuanya diarahkan untuk hadir ke sesi kaunseling di bahagian penguatkuasaan JAHEAIK," katanya melalui pesanan Whatsapp kepada Malaysiakini.

Laporan The Star semalam berhubung seorang lelaki yang ditahan pegawai JAHEAIK 25 September lalu, ketika dalam perjalanan menuju gelanggang futsal kerana berseluar pendek mengundang reaksi banyak pihak.

Wan Khairul Hayyee Wali, 30, diberi notis untuk hadir ke sesi kaunseling bulan depan jika tidak mahu dipanggil ke mahkamah syariah dan berdepan risiko denda RM1,000 jika bersalah.

Wan Khairul mendakwa dia tidak tahu tentang kewujudan peraturan itu.

Che Mohd Rahim bagaimanapun enggan mengulas ketika diminta menerangkan lebih lanjut berhubung larangan itu.

"Nanti saya hubungi kembali sebab itu isu baru, kita takut tersilap (penjelasan). Bagi saya ia tidak perlu disiarkan lagi, untuk apa disiarkan dalam akhbar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JHEAIK Mohd Fadzuli Mohd Zain mempertahankan operasi itu yang menurutnya bertujuan mendidik umat Islam, bukannya menghukum.

"Peraturan ini bukan baru sebaliknya sudah termaktub sejak 1985, namun kita tidak kuatkuasakan secara tegas sehingga sekarang," katanya seperti dipetik Utusan Online, hari ini.

beliau memaklumkan seramai 70 individu yang telah dipanggil ke sesi kaunseling pada tahun ini, kebanyakannya perempuan.

Beliau juga berkata Wan Khairul tidak akan diberikan notis tersebut jika didapati berseluar pendek di tempat yang sesuai, seperti gelanggang futsal.
 

Lihat Komen
ADS