Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengakui bertanggungjawab meminta supaya durian dibenarkan dieksport di China sehingga menyaksikan harga buah itu mencanak-canak tinggi mengundang bidasan daripada warga maya.

Bagi bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin, Najib berbangga tanpa menyedari rakyat sebenarnya marah kerana tidak mampu membeli durian.

Najib pada ucapannya di majlis Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan serta Festival Makanan Malaysia di Serdang Selangor hari ini, berkata idea menaikkan harga raja buah itu tercetus selepas beliau melihat lambakannya di Chow Kit.

Menurut perdana menteri suatu ketika dulu beliau melihat ada durian yang dijual pada harga RM1 sebiji.

Mengulas kenyataan itu, Zainuddin berkata Najib sebenarnya tidak lagi sedar bahawa semua harga barangan termasuk durian menjadi mahal.

Turut membidas perdana menteri adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang secara sinis memperli Najib yang menangguk di air keruh.

Turut mempersendakan perdana menteri adalah Bekas Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Datuk Lee Hwa Beng.