Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman seorang setiausaha politik menteri selama enam hari.

Tahanan reman itu adalah bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana bernilai RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Menurut portal Berita Harian Online, perintah reman ke atas lelaki bergelar 'Datuk' itu bermula hari ini hingga 3 Oktober. Ia dikeluarkan oleh Majistret Azizah Ahmad.

Lelaki berusia 61 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, mengesahkan lelaki berkenaan ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Kes itu dikatakan ada berkaitan dengan penangkapan empat individu termasuk Ketua Pemuda Umno Bagan Datuk, Perak, yang adalah ketua pegawai eksekutif GLC tersebut.

Minggu lalu, SPRM menahan empat individu termasuk seorang bergelar 'Datuk' di beberapa lokasi di Kuala Lumpur selepas disyaki terbabit dalam penyelewengan dana PTPK sebanyak RM40 juta.

Tiga daripada empat individu yang ditahan adalah pegawai kanan PTPK, manakala seorang lagi pengarah syarikat berumur 38 tahun.

Bagaimanapun, keempat-empat individu itu sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 23 September lalu.