Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi akan buat aduan disiplin, saman Rizal
Diterbitkan:  Sep 28, 2017 9:34 PM
Dikemaskini: 1:39 PM

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli akan membuat aduan disiplin terhadap Datuk Rizal Mansor kerana didakwa melanggar peraturan penjawat awam.

Rafizi berkata beliau akan mengemukakan aduan minggu depan kerana pembantu kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu terus "membuat kerja-kerja politik picisan".

Selaku Ketua Penolong Pengarah (KPP), Bahagian Khas Jabatan Perdana Menteri, Rafizi berkata Rizal telah melanggar Peraturan 21 (I), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang melarang penjawat awam mengambil bahagian dalam politik.

Rafizi berkata, ini selepas Rizal  (gambar) terus mengeluarkan kenyataan politik dan menyerang beliau serta badan penyelidikan yang ditubuhkannya, Invoke.

Sebelum ini Rizal menuduh Rafizi menggunakan sumbangan orang awam yang diterima Invoke yang kemudian disalur ke syarikat lain yang juga miliknya.

Selain membuat aduan rasmi terhadap Rizal, Rafizi berkata beliau juga akan berbincang dengan peguam untuk memfailkan saman terhadap Rizal berhubung "fitnah" berkenaan.

Rafizi berkata sebelum ini beliau tidak pernah menyaman sesiapa termasuk blogger Papagomo yang didakwa memfitnahnya dipecat dari Petronas kerana melakukan penyelewengan.

"Berbeza dengan menyaman Papagomo yang tidak ada apa-apa dan kalau menang pun tidak mampu membayar peguam, saya berpendapat saman ke atas Datuk Rizal Mansor atas fitnah yang nyata ini akan berjaya mendapatkan pampasan ratusan ribu ringgit yang boleh disumbangkan kepada Invoke," katanya.

Lihat Komen
ADS