Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mimbar: Jangan lupa pejuang terdahulu
Diterbitkan:  Sep 29, 2017 2:44 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini meminta orang ramai agar tidak melupakan pejuang terdahulu yang berjuang untuk keamanan negara ini.

Menurut mimbar, tanpa semangat perjuangan daripada agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan yang lain, rakyat tidak mungkin dapat menikmati kesejahteraan yang dikecapi seperti hari ini.

Mimbar turut menasihatkan masyarakat Islam agar sentiasa menghargai pengorbanan yang telah dilakukan generasi terdahulu yang sanggup berjuang dan meninggalkan harta serta keluarga demi keamanan negara.

“Adalah amat wajar untuk kita mengambil iktibar serta teladan atas segala pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu.

“Semangat yang mereka tonjolkan itu telah menjadi batu asas kepada kemajuan negara dalam pelbagai aspek amnya,” kata teks khutbah yang bertajuk ‘Perjuangan yang belum selesai’.

Sehubungan itu, teks khutbah itu menyebut, apa yang perlu dilakukan masyarakat kini ialah bersatu padu mempertahankan negara daripada sebarang ancaman dan anasir yang merosakkan dan menghancurkan negara.

Ia termasuk mempersiapkan diri bagi berdepan dengan kehadiran musuh yang sukar diramal, kata teks itu lagi.

“Persediaan ini termasuk dari segi melestarikan industri dan ekonomi negara, menambah baik tahap pendidikan negara, menjunjung tinggi nilai -nilai keagamaan, memperkasakan keselamatan negara dan meletakkan nilai sosial serta ketamadunan negara bangsa di tempat sewajarnya,” kata mimbar lagi.

Lihat Komen
ADS