Kerajaan Pulau Pinang akan menutup semua hotel yang beroperasi secara haram di negeri itu berkuatkusa pada 31 Oktober.

Menurut anggota exco kerajaan negeri, Chow Kon Yeow, sebanyak 166 hotel mungkin diberi lesen operasi dengan syarat mereka bertindak pantas dan mematuhi garis panduan serta mengemukakan pelan bangunan mereka kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebelum tarikh akhir.

"Pelan bangunan yang dikemukakan sebelum tarikh ini masih boleh diproses sehingga keputusan dibuat (untuk memberi lesen tetap)," kata Chow dalam sidang akhbar di Komtar hari ini.

Menurutnya kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan lesen sementara selepas tarikh itu.

"Selepas tarikh ini (31 Oktober), premis yang tidak mempunyai lesen tetap atau tidak mengemukakan pelan bangunan, akan menghadapi tindakan oleh MBPP," katanya.

Kerajaan Pulau Pinang memulakan proses untuk memberikan lesen kepada hotel yang beroperasi secara haram pada tahun 2014, berikutan rayuan pengendali hotel berkenaan untuk membolehkan mereka memohon lesen operasi tetap.

Lesen sementara yang berkuatkuasa dari 2014 hingga 2017 telah dikeluarkan kepada operator-operator berkenaan supaya mereka boleh beroperasi dan pada masa sama memohon lesen tetap.

"Semasa proses pelesenan, pengendali tanpa lesen dikehendaki mengemukakan permohonan mereka untuk menukar premis mereka kepada hotel dan mematuhi garis panduan teknikal yang lain," katanya.

[Baca berita penuh]