Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bomba: 7 silinder gas berisi klorin dibawa keluar
Diterbitkan:  Sep 30, 2017 6:34 AM
Dikemaskini: 10:39 PM

Tujuh silinder gas yang berisi cecair kimia jenis klorin berjaya dibawa keluar dari Kampung Tambak Paya, malam tadi.

Timbalan Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi) Melaka, Kamarulzaman Mohd Din berkata kerja-kerja pengalihan tujuh tong gas berkenaan, termasuk melibatkan kerja-kerja menggali sebuah silinder bocor yang ditanam, kelmarin.

Menurutnya, kesemua tujuh silinder tersebut dibawa keluar kira-kira jam 10.10 malam tadi, dengan diiringi lapan kenderaan Pasukan Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) dan kenderaan polis.

“Kita bergerak secara konvoi sehingga ke Rawang, Selangor bagi memastikan ia selamat sampai ke lokasi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pihaknya mendapat bantuan daripada sebuah syarikat yang dilantik oleh pemilik silinder terbabit untuk kerja-kerja pemindahan tersebut.

Katanya kira-kira 250 penduduk kampung yang kini ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Tambak Paya  dibenarkan pulang malam tadi, apabila operasi tamat sepenuhnya.

Bernama sebelum ini, melaporkan bomba mengarahkan semua penduduk kampung berpindah ke pusat pemindahan itu pada jam 5.30 petang semalam, sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga bagi kerja-kerja pengalihan tujuh silinder tersebut.

Tinjauan Bernama mendapati jalan masuk ke kampung berkenaan ditutup sejak operasi dimulakan kira-kira jam 4 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali, menerusi satu kenyataan semalam, berkata pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Tambak Paya telah ditutup pada jam 10.53 malam tadi sejurus pasukan bomba membawa keluar tujuh silinder tersebut.

“Kesemua 240 orang penduduk telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan didapati selamat,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS