Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Jamal dakwa 'orang tengah propembangkang' punca kenaikan harga ikan

Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos mendakwa bahawa orang tengah yang propembangkang menjadi punca harga ikan begitu tinggi sekarang.

"kenaikan harga ikan berpunca dari orang tengah yg memainkan peranan yang saya cukup yakin ianya bermotifkan politik.

"Dalam beberapa bulan lagi negara kita akan menghadapi pilihanraya, jadi sebab itulah ada pihak tertentu yang saya yakin dari parti Pakatan Harapan telahpun menggunakan orang tengah untuk menaikkan harga ikan pada harga yang cukup tidak munasabah.

"Kenaikan harga ikan ini sebenarnya sudah dijadikan bahan politik oleh parti-parti politik tertentu," kata Jamal kepada pemberita di luar ibupejabat Umno Ampang hari ini.

Beliau menganjurkan program menjual empat jenis ikan pada harga RM5 sekilogram di situ hari ini, yang menyaksikan orang ramai beratur panjang sebelum gerai dibuka pada pukul 10 pagi.

Setiap individu dihadkan membeli dua kilogram untuk mana-mana ikan pilihan mereka. Jenis ikan yang ditawarkan ialah Kembung, Cencaru, Selayang dan Mabong.

Jamal telah menyediakan lima tan ikan untuk dijual hari ini dan pada jam 10.45 pagi, lebih separuh bekalannya hampir habis dijual.

Walaupun satu kain rentang di atas gerai itu berbunyi "Siapa sebenarnya orang tengah? Tokey ikan DAP", Jamal menafikan ia merujuk kepada parti politik itu.

"Maksud DAP ialah Dapat Aiskrim Percuma. Saya tak sebut pun parti DAP, nanti dia saman saya," kata berseloroh ketika ditanya mengenai kain rentang tersebut.

Pada bulan Januari tahun ini, Jamal telah membawa 10 katil ke bangunan sekretariat negeri di Shah Alam dengan kata-kata "DAP - Dapat Aiskrim Percuma" tertera pada kain di atas katil itu. Dia juga memberikan air krim percuma semasa aksi tersebut.

Ada agenda politik

Ditanya mengapa beliau percaya bahawa orang tengah mempunyai motif politik, beliau mendakwa mereka kebanyakannya peniaga Cina yang dahulunya memang menyokong kerajaan kerana menurutnya, mereka diberi bantuan berterusan oleh kerajaan.

"Apabila mereka berjaya sekarang, mereka mengalihkan sokongan ke parti yang lain

"Hari ini mereka menyokong parti lain untuk menjatuhkan kerajaan BN yang telah bertahun-tahun membantu mereka.

"Dan mereka tahu kenaikan ikan ini akan menyebabkan rakyat marah. Apabila rakyat marah berhadapan dengan pilihan raya, rakyat tidak akan memberi lagi sokongan kepada BN," dakwa Jamal.

Katanya, beliau bersetuju jika harga ikan yang mahal memberi faedah dan manfaat kepada nelayan, tetapi, menurutnya, hidup nelayan tidak berubah.

"Yang kaya raya adalah orang tengah yang mempunyai agenda politik ataupun ada parti-parti politik yang mengambil kesempatan di atas harga ikan yang mahal ini," dakwanya lagi.

Lima tan ikan yang dijualnya hari ini dibeli pada harga kira-kira RM4.80 sekilogram, katanya.

Kerana mereka menjualnya dengan harga RM5 sekilogram, maka mereka tidak membuat apa-apa keuntungan, tetapi itu bukan tujuan programnya itu, katanya.

"Kos-kos lain kami biayai, lori, pekerja, semuanya.

"Walaupun program ini bukan program mendapat keuntungan tapi apa yang kami lakukan ini untuk memberitahu rakyat bahawa (harga) ikan bukan (pada) harga yang dijual di pasar," katanya.

Beliau juga menggesa agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) supaya segera menyelesaikan isu harga tersebut.

'Kenaikan harga durian'

Program hari ini di Ampang adalah programnya yang ketiga, dengan dua program sebelum ini diadakan di Sekinchan, Selangor.

Jamal berjanji untuk terus menjual ikan pada harga yang sama pada setiap hari Ahad di Sekinchan serta di lain-lain tempat di Selangor setiap minggu sehingga harga ikan stabil di pasaran.

Program itu seterusnya, kata beliau, akan diadakan di bangunan Umno Pandan minggu depan diikuti di bangunan Umno Gombak seminggu selepas itu.

Apabila ditanya sama ada beliau akan menganjurkan program yang sama untuk menjual durian pada harga yang lebih murah, Jamal berkata ia telah dilakukan di Shah Alam oleh kerajaan Selangor.

"Itu MB (Selangor) dah buat program durian, jadi biarlah (Datuk Seri) Azmin Ali yang bagi makan durian percuma/durian harga rendah.

"Tapi apa yang dia orang buat tak ikhlas, bagi orang makan durian mentah," katanya.

Beliau merujuk kepada program "Kendurian Makan Sampai Pengsan" anjuran kerajaan Selangor pada bulan Ogos lalu.

Program itu terpaksa dibatalkan selepas kebanyakan bekalan buah durian 15 tan itu didapati tidak masak.

Durian, kata Jamal, bukan makanan keperluan atau makanan harian, sepertimana ikan.

Katanya, beliau bersetuju harga durian mahal kerana pekebun durian mendapat kebaikan hasil daripada harga yang mahal itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata melalui usaha beliau untuk mengeksport durian ke China telah membawa kepada kenaikan harga durian.

Beliau berkata durian pernah dijual pada harga RM1 sebiji, tetapi kini durian 'musang king' dijual lebih daripada RM100 sekilogram kerana pasaran baru di China.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS