Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khalid ke Fastaqim sebagai tanda sokongan
Diterbitkan:  Sep 30, 2017 4:49 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Ketika peminat politik ternanti-nanti apakah kejutan yang dijanjikan PAS sempena Fastaqim 2.0 yang berlangung sejak semalam, kelibat Tan Sri Khalid Ibrahim di Pantai Tok Jembal malam ini pasti menarik perhatain ramai.

Disebut-sebut kemungkinan akan menyertai PAS, Khalid sebaliknya berkata kehadiran beliau di majlis berkenaan nanti adalah untuk memenuhi jemputan daripada penganjur.

Kata Khalid "sangat molek" untuk beliau menghadirkan diri di majlis berkenaan untuk menunjukkan sokongan kepada PAS.

"Saya kira sangat molek menghadiri acara untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan yang mempunyai matlamat yang sama iaitu penyatuan ummah serta menguatkan usaha membina masyarakat madani di Malaysia.

"Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita semua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PAS menganjurkan himpunan besar-besaran di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus di Kuala Terengganu mulai semalam dan kemuncaknya akan berlangsung pada malam ini.

Menyasarkan kehadiran 200,000 orang Fastaqim 2.0 adalah simbolik PAS untuk menunjukkan kesungguhan dan kesediaan mereka menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Berita tak benar

Selain Kelantan, Terengganu memang menjadi antara negeri yang menjadi kubu kuat PAS dan salah satu sasaran parti itu untuk ditawan melalui PRU.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri adalah orang Terengganu yang kini mewakili parlimen Marang serta Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang.

PAS pernah menguasai Terengganu pada PRU ke-10 dan Abdul Hadi dilantik menjadi menteri besar. Bagaimanapun usia kerajaan PAS itu hanya bertahan selama satu penggal.

Khalid pula kini adalah wakil rakyat bebas selepas dipecat PKR pada 9 Ogos 2014 ekoran krisis menteri besar Selangor.

Selain mewakili kawasan parlimen Bandar Tun Razak Khalid juga ialah anggota dewan undangan negeri Pelabuan Kelang.

Sejak di penghujung pentadbirannya sebagai menteri besar Khalid dilihat lebih akrab kepada PAS berbanding PKR. Keadaan itu mencetuskan khabar angin beliau akhirnya akan menyertai parti berkenaan.

Menurut Khalid beliau membuat penjelasan mengenai kehadiran di Fastaqim 2.0 selepas diajukan pertanyaan mengenainya oleh media.

Sementara itu memetik sumber Star Online melaporkan gosip Khalid akan menjadi anggota PAS adalah tidak benar walaupun hubungan ahli politik berusia 70 tahun itu dengan pemimpin parti terbabit memang rapat.

Pada 5 Sept lalu media melaporkan PAS bakal mengumumkan kejutan pada malam kemuncak Fastaqim 2.0.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata beberapa tokoh nasional akan diisytiharkan menyertai parti berkenaan namun identiti mereka masih dirahsiakan.

Malam tadi bekas pemimpin kanan PKR Mustafa Kamil Ayub menjadi salah seorang tetamu Fastaqim dan beliau hadir atas kapasitinya sebagai wakil pertubuhan Kongres Rakyat.

Fastaqim pertama diadakan di Kota Bharu, Kelantan pada 17 Oktober 2015.

Lihat Komen
ADS