'Mendung rahmat' payungi Fastaqim
Cuaca mendung mengiringi perjalanan hari kedua dan terakhir perhimpunam Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus hari ini.
Walaupun ia mungkin petanda awal akan datangnya hujan, ia tentu tidak mematahkan semangat penyokong PAS untuk menyertai gelombang "hijau menuju kemenangan" yang beralun sejak semalam.
Sambutan orang ramai kepada Fastaqim 2.0 ini memang luar biasa. Tinjauan Malaysiakini mendapati perjalanan dari pusat bandar ke tapak perhimpunan itu hari ini mengambil masa hampir dua jam.
Perjalanan pada waktu biasa hanya mengambil tempoh kira-kira 30 minit.
Fastaqim kali kedua ini juga didakwa berjaya menenggelamkan satu lagi karnival besar yang turut berlangsung hari ini di Kuala Terengganu iaitu karnival Jom Heboh yang diadakan di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.
Di pentas utama petang ini dijadualkan berlangsungnya ucapan oleh pimpinan kanan PAS termasuk Ketua Pemuda, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ketua Penerangan, Nasrudin Hassan dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Malam ini - seperti dijanjikan - PAS dijangka membuat pengumuman mengejutkan dipercayai membabitkan kemasukan beberapa tokoh peringkat nasional ke dalam PAS.
"Tunggulah malam esok, insya-Allah. Saya kena pegang amanah (untuk merahsiakannya buat sementara)," kata Nasrudin ketika ditanya sekumpulan wartawan mengenai rahsia tersebut.
Antara nama yang menjadi sebutan ramai ialah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan bekas pengerusi PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub.
Sejauh mana benarnya perkara itu belum dapat dipastikan, namun kedua-dua individu tersebut kini dikatakan berada 'dekat' dengan pimpinan utama PAS.
Bagaimanapun hari ini Khalid menyatakan beliau akan menghadiri Fastaqim malam nanti sebagai tanda sokongan kepada "rakan-rakan" yang sehaluan dengan perjuangannya membina masyarakat madani di Malaysia.

