Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saringan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap senarai nama calon pilihan raya umum ke-14 yang dikemukakan parti-parti politik hanya tertumpu kepada calon sahaja, dan tidak melibatkan anggota keluarga mereka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata anggota keluarga tidak perlu menjalani saringan seperti yang perlu dilalui oleh calon-calon parti.

"Tidak timbul persoalan anggota keluarga mereka juga perlu melalui proses sama… sebab ini hanyalah saringan dan tidak bertujuan melakukan siasatan," katanya selepas menutup Kembara Jelajah Antirasuah 2017 (KEJAR 17) di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata SPRM juga tidak akan mendedahkan nama individu yang disenaraikan untuk saringan itu atau sebarang maklumat yang diterima daripada parti-parti politik.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan kepada parti politik berkenaan bagi tindakan lanjut dan susulan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak berkata BN telah menghantar sebahagian senarai nama calon PRU14 kepada SPRM untuk saringan.

Dalam perkembangan lain, Dzulkifli berkata badan pencegahan rasuah itu sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London dan Kuching.

Katanya kertas siasatan itu dijangka diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh dua minggu lagi.

“Kita akan selesaikan siasatan secepat mungkin sebelum ia (kertas siasatan) diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya mengenai siasatan pembelian hotel itu yang didakwa dibeli pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS