Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2 anggota TLDM mati ketika latihan akibat didera, kata polis

Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi di Ipoh pada Jumaat lalu, dipercayai didera, kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Perak Datuk Gan Tian Kee.

Beliau berkata berikutan itu polis mengklasifikasikan kematian itu sebagai kes bunuh berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun.

“Bedah siasat yang dilakukan ke atas kedua-dua mereka mendapati berlakunya kes penderaan yang mendatangkan kecederaan.

"Daripada penemuan ini, siasatan diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gan berkata bedah siasat ke atas Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dilakukan pada pukul 3.30 petang hingga 7 malam, semalam, dan mendapati kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul.

"Bedah siasat ke atas Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri, 26, bermula pukul 9 malam hingga 11.30 malam mendapati dia meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut," katanya.

Gan berkata susulan itu, polis telah menangkap tiga lelaki berumur 29 hingga 44 tahun kira-kira 9.30 malam tadi bagi membantu siasatan.

"Ketiga-tiga suspek ini bertugas bagi syif Jumaat (29 Sept) pukul 10 pagi hingga 11 malam. Penahanan reman kesemua suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Seri Manjung," katanya.

Gan berkata polis turut merakam percakapan lapan tahanan yang ada di lokasi dan 11 pengawal bilik tahanan yang bertugas di tempat kejadian.

"Selain itu, polis merampas set CCTV, tujuh T baton, sebuah buku log bertugas, buku log SOP (perintah tetap bilik tahanan Unit Sungai Wangi) dan beberapa telefon bimbit pelbagai jenama," katanya.

TLDM dalam kenyataannya semalam menyatakan, Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailal Tuiman meninggal dunia di bilik tahanan itu ketika menjalani latihan fizikal di kem berkenaan.

Ketika menjalani latihan itu, kedua-dua anggota berkenaan mengadu kepenatan dan direhatkan sebelum mengalami muntah dan sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada 3.15 petang.

-Bernama

Lihat Komen
ADS