Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Bawa mereka naik pesawat tentera untuk balas jasa'
Diterbitkan:  Oct 1, 2017 6:24 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Satu pertiga daripada delegasi yang membawa sekumpulan 180 pemimpin komuniti dari Sarawak untuk bertemu perdana menteri baru-baru ini terdiri daripada bekas anggota tentera.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata pemimpin dari Kanowit, Song, Kapit dan Belaga itu merupakan penduduk yang berjuang menentang komunis pada tahun 1970-an.

Justeru beliau berkata tindakan membawa mereka menemui Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya dengan menaiki pesawat tentera merupakan satu penghargaan kepada mereka.

“Inilah yang sekurang-kurangnya dapat dilakukan oleh pihak tentera untuk membalas jasa dan pengorbanan mereka menentang komunis semasa negara menghadapi ancaman,” kata beliau, lapor Bernama.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian baru-baru ini berkata beliau "terkejut" dengan jenis pengangkutan yang digunakan untuk membawa pemimpin komuniti berkenaan.

"Saya benar-benar kesian (pengundi) penghulu terpaksa diangkut sedemikian, pesawat tentera mengambil masa beberapa jam untuk tiba di Kuala Lumpur dan kerusinya tidak selesa.

"Jika benar bahawa pesawat tentera digunakan, ini adalah penyalahgunaan kuasa," katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Bagaimanapun, Masing membidas pembangkang kerana mengkritik lawatan itu sambil menambah mereka adalah golongan yang tidak terhutang budi kepada pejuang yang telah mempertahankan kedaulatan negeri ini.

Beliau berkata Najib sendiri gembira dengan lawatan itu, bahkan membawa delegasi tersebut makan tengah hari di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana.

Masing berkata semasa lawatan itu, mereka meminta perdana menteri membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan mereka terutama membina lebih banyak jalan.

Lihat Komen
ADS