Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bekas pegawai kanan 'sertai' PAS timbulkan kekeliruan
Diterbitkan:  Oct 1, 2017 7:10 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

Di sebalik penafian kepada media, kedudukan bekas pegawai kanan kerajaan yang didakwa menyertai PAS menjadi tanda tanya ekoran laporan disiarkan Harakahdaily hari ini.

Dua pesara kerajaan itu memang tidak menjadi ahli PAS - sekali gus menjawab rasa teruja orang ramai yang diuar-uarkan dengan "pengumuman mengejutkan" oleh Nasrudin Hassan sebelum ini.

Kata Nasrudin ada kejutan akan diumumkan pada himpunan Fastaqim 2.0 di Kuala Nerus itu.

Namun selepas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menamatkan program berkenaan tengah malam tadi tiada "tokoh nasional" yang sah menjadi ahli PAS.

Namun hari ini portal Harakahdaily menyiarkan laporan "Dua bekas pegawai kanan kerajaan sertai PAS".

Antara lain laporan itu menyebut "Fastaqim 2.0 mencatat sejarah apabila dua bekas pegawai kanan kerajaan diumumkan menyertai PAS".

"Mereka (ialah) bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaffar dan.bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Abdul Rahim Che Daud."

Bagaimanapun Malaysiakini malam tadi melaporkan Zakaria menafikan beliau menyertai politik sebaliknya hanya menyokong usaha PAS "memperjuangkan isu rasuah".

"Saya bukannya masuk politik. Mungkin ada salah faham di sini.

"Saya boleh bekerjasama dengan semua pihak yang mempunyai komitmen untuk membanteras rasuah. Saya tidak menyertai PAS," katanya.

Menjelaskan keadaan itu Nasrudin yang juga ketua penerangan PAS mempertahankan Harakahdaily.

"Ya, laporan Harakahdaily tu betul," katanya.

Mengulangi kenyataan dibuatnya pada sidang media di Pantai Tok Jembal selepas Fastaqim 2.0 berakhir malam tadi Nasrudin berkata istlah "sertai PAS" itu tidak semestinya menjadi ahli parti.

“Dia masuk menyertai PAS di situ, bermakna bersama memperjuangkan PAS untuk menentang rasuah, berjuang untuk Islam dan sebagainya. Itu maksudnya. Dia bukan menjadi ahli," katanya.

Menurut anggota parlimen Temerloh itu menyertai dan bersama PAS mempunyai "banyak kategori".

 

Lihat Komen
ADS