Dua wanita yang dituduh membunuh Kim Jong-nam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, menurut laporan Reuters.

Warga Vietnam, Doan Thi Huong dan warga Indonesia Siti Aisyah didakwa atas tuduhan membunuh abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un itu dengan menyapu muka mangsa dengan bahan kimia beracun, XV, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2(KLIA2) pada 13 Februari 2017.

XV merupakan bahan kimia yang diharamkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Menurut laporan itu lagi, kedua-dua wanita itu yang memakai jaket kalis peluru hanya mengangguk apabila pertuduhan dibacakan pihak pendakwaan.

Siti Aishah, 25, dan Doan, 28, didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Pelepasan KLIA2, pada kira-kira pukul 9 pagi 13 Februari, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.  

Kedua-duanya ditangkap beberapa hari selepas pembunuhan berlaku.

Siti Aishah sebelum ini dilaporkan mendakwa telah diperdaya untuk terlibat dalam pembunuhan itu dan menyangka ia hanyalah untuk rancangan 'prank' di televisyen, tetapi disanggah Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurut Utusan, Pengarah Pendakwaan Selangor Muhammad Iskandar Ahmad berkata pihak pendakwaan akan membuktikan kematian Jong-nam memang akibat disapu bahan kimia XV oleh Siti Aishah dan Doan.

Dalam ucapan pembukaannya di mahkamah tadi, Muhammad Iskandar juga berkata keterangan langsung akan membuktikan kedua-duanya mempunyai niat untuk melakukan pembunuhan, dan telah menjalani latihan persediaan di bawah pantauan empat lelaki warga Korea Utara yang kini masih bebas.

Jong-nam yang menggunakan pasport tentera dengan nama Kim Chol diserang ketika menunggu penerbangan ke Macau. Dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.