Anggota Parlimen PKR akan mencadangkan Rang Undang-Undang untuk meminda perlembagaan bagi menyelesaikan isu penukaran agama kanak-kanak secara sepihak di bawah usia 18 tahun.

Anggota Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung berkata rang undang-undang itu akan dibentang dalam sidang parlimen pada 23 Oktober ini.

Katanya, beliau juga telah menghantar surat mengenai rang undang-undang yang digelar Akta Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2017 itu kepada Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah hari ini.

Menurutnya, Rang Undang-Undang itu bertujuan untuk menggantikan perkataan "orang tuanya" dengan perkataan "kedua-dua ibu bapanya", dalam Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan agama kanak-kanak di bawah umur 18 tahun perlu diputuskan oleh orang tua atau penjaganya.

Sesetengah pihak melihat perkataan 'orang tua' dalam fasal itu sebagai perkataan tunggal yang bermakna hanya salah seorang daripada ibu atau bapa diperlukan ketika memutuskan agama anak.

"Rang undang-undang ini tidak mempunyai implikasi kewangan kerana ia tidak melibatkan apa-apa perbelanjaan tambahan kerajaan," kata Gooi kepada Malaysiakini.

Mengenai permintaan Datuk Seri Najib Razak agar golongan wanita memberikan dua pertiga majoriti kepada BN bagi mengakhiri isu itu, Gooi mempersoalkan mengapa perdana menteri harus menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana katanya, lebih 14 anggota parlimen pembangkang telah menyatakan persetujuan untuk pindaan berkenaan.

"Sebab itulah saya meletakkan Rang Undang-Undang ini untuk dipertimbangkan pada bulan Oktober. Mari selesaikan sekarang dan letakkannya jika dia (Najib) serius dalam menyelesaikan masalah ini" katanya.

Kerajaan sepatutnya memperkenalkan pindaan kepada Seksyen 88A Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (LRA), untuk menghentikan isu penukaran agama kanak-kanak secara sepihak, dalam sidang parlimen lalu.

Bagaimanapun ia telah digugurkan kerana dikatakan melanggar Perkara 12 (4) perlembagaan.

Cadangan Seksyen 88A (1) menyatakan bahawa "Jika suatu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam, agama mana-mana anak dari perkahwinan itu hendaklah kekal sebagai agama pihak-pihak kepada perkahwinan itu sebelum penukaran agama itu, kecuali jika kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu bersetuju akan penukaran
agama anak itu kepada Islam, tertakluk kepada keinginan anak itu apabila dia telah mencapai umur lapan belas tahun".