Riot: Tak perlu sebab tak rujuk bekas pekerja MAS ke mahkamah
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem enggan memberikan alasan mengapa kementeriannya tidak merujuk kes melibatkan 3,600 bekas kakitangan MAS yang diberhentikan kerja ke Mahkamah Perusahaan.
Walaupun sebelum ini beliau mengatakan jawapan rasmi akan dikeluarkan, Riot hari ini bagaimanapun berkata sebaliknya.
"Itulah jawapannya. Kami tidak perlu menerangkan sebab-sebabnya," katanya kepada Malaysiakini dalam kiriman mesej, tetapi enggan mengulas lanjut.
Minggu lalu, Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Perbangan Malaysia (Nufam) berkata tiada surat rasmi mengenai keputusan itu dihantar kepada kakitangan terlibat, yang kebanyakannya adalah kakitangan kabin.
Kesatuan itu juga menuntut penjelasan mengenai keputusan itu dan bertanya mengapa kementerian mengambil masa dua tahun untuk membuat keputusan.
Presiden Nufam, Ismail Nasaruddin juga mempersoalkan mengapa keputusan itu dibuat oleh seorang individu dan tidak membawa kes itu ke Mahkamah Perusahaan.
Selepas mengalami kerugian selama bertahun-tahun, MAS telah diswastakan dan diambil alih oleh Khazanah Nasional Berhad pada 2015.
Khazanah kemudian mengumumkan pakej RM6 bilion untuk menyelamatkan MAS bagi membolehkan syarikat itu kembali menjana keuntungan dalam tempoh tiga tahun, atau menjelang 2017.
Rancangan 12 perkara itu melibatkan penubuhan sebuah syarikat baru untuk mengambil alih aset dan perniagaan syarikat lama, dengan pengurangan 30 peratus atau 6,000 pekerjanya.
Akta Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2015 telah diluluskan di Parlimen untuk memudahkan proses berkenaan.

