Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pesanan banduan 60000065
Diterbitkan:  Oct 2, 2017 10:18 PM
Dikemaskini: 3:25 PM

Naib Presiden PKR Tian Chua, dalam satu mesej dari penjara Kajang, memberitahu rakan dan penyokongnya bahawa penahanannya bukan sesuatu yang perlu disedihkan dan menggesa mereka terus berjuang.

“Ini adalah proses perjuangan yang kita perlu lalui untuk memastikan perubahan dalam sistem politik kita yang dipenuhi rasuah.

“Tak ada yang perlu diratapi dan kita tak harus bersedih. Teruskan perjuangan, kebebasan akan tiba untuk satu negara,” katanya dalam satu nota yang disebarkan di kalangan aktivis dan ahli parti.

Antara yang berkongsi mesej itu ialah Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah.

Tian Chua pada 29 September lalu menarik balik rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas sabitan kesalahan enggan bekerjasama dengan arahan polis yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.

Beliau dikatakan melakukan kesalahan itu di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, yang merupakan tempat penahanan ketika himpunan BERSIH 3 pada 2012.

Penarikan rayuan itu bererti beliau perlu menjalani hukuman penjara satu bulan yang diputuskan Mahkamah Sesyen.

Tian Chua berkata penarikan rayuannya bukan bererti pengakuan salah namun sebaliknya ialah kerana beliau sanggup ke penjara jika itu harga untuk “menukar sistem yang dipenuhi rasuah”.

Dalam nota terbarunya itu, Tian Chua berterima kasih kepada penyokongnya.

“Saya ingin anda semua yakin bahawa saya dalam keadaan sihat dan penuh semangat,” katanya.

Tian Chua menandatangani nota itu dengan nombor banduan 60000065.

Sementara itu, China Press, memetik seorang lagi peguam Tian Chua, M Surendran, berkata anggota parlimen Batu itu dijangka dibebaskan pada 27 Oktober depan.

Surendran berkata Tian Chua merancang untuk hadir pembentangan bajet Perdana Menteri Najib Abdul Razak yang dijadualkan pada hari sama pembebasannya.

Tian Chua tidak hilang kelayakan sebagai anggota parlimen kerana hukuman penjara itu tidak melebihi satu tahun atau denda RM2,000.

[Berita asal]

Lihat Komen
ADS