Militan Islamic State (Daesh) mendakwa mereka bertanggungjawab atas kejadian tembakan yang melibatkan lelaki warga Amerika berumur 64 tahun yang membunuh sekurang-kurangnya 50 dan mencederakan lebih 500 orang di Las Vegas, namun pegawai AS berkata tiada bukti setakat ini mengaitkan penembak kepada mana-mana militan antarabangsa.

Menurut agensi berita kumpulan militan itu, Amaq, Daesh mendakwa penembak itu telah memeluk Islam beberapa bulan lalu.

Pegawai rasmi AS berkata agensi keselamatan sedang memeriksa dakwaan tersebut.

“Kejadian tembakan di Las Vegas dilakukan oleh tentera Daesh dan dia melakukannya sebagai menyasarkan negara-negara gabungan,” lapor Amaq merujuk gabungan negara-negara menentang Daesh yang diketuai AS di Timur Tengah.

Pihak berkuasa AS berkata penembak itu, yang tinggal di rumah persaraannya di Mesquite, Nevada, dan bersenjatakan lebih daripada 10 senapang melepaskan tembakan dalam sebuah festival muzik Las Vegas pada hari Ahad lalu dari tingkap tingkat 32.

Lelaki itu dikenal pasti pihak polis sebagai Stephen Paddock, membunuh diri sebelum polis tiba di bilik hotel dari tempatnya menembak, kata polis.

Dua pegawai AS memberitahu Reuters bahawa nama lelaki itu tidak terdapat dalam mana-mana pangkalan data individu yang disyaki pengganas.

Salah seorang pegawai berkata, ada kemungkinan Paddock mempunyai masalah psikologi.

[Berita asal]