‘RM5 juta untuk SPRM satu bentuk suapan'
Peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla hari ini mempersoalkan kebijaksanaan dan rasional penerimaan RM5 juta oleh Yayasan Prihatin SPRM, sebuah yayasan di bawah SPRM sedangkan siasatan ke atas 1MDB belum selesai.
Mohd Haniff yang mewakili Tun Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa kes, berkata di bawah Seksyen 3 Akta SPRM 2009, "suapan" ditakrifkan sebagai pemberian wang, derma, yuran atau hadiah atau aset dan lain-lain untuk mencapai atau melakukan sesuatu.
Mohd Haniff berkata terdapat banyak kali pelbagai pihak, termasuk SPRM dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali, berkata bahawa kertas siasatan terhadap 1MDB dan dakwaan pembabitan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang diteliti.
"Oleh itu, apa keperluan dana RM5 juta kepada badan awam seperti badan kebajikan SPRM, sedangkan lebih wajar memperuntukkan dana melalui Bajet 2018, yang adalah cara betul.
"Bukankah hadiah dan pengumuman ini adalah satu bentuk suapan oleh kepada SPRM bagi menjaga kepentingannya dan nama kerajaan apabila terdapat siasatan berterusan?" soalnya.
Hujung minggu lalu, ketika meraikan ulang tahun ke-50 SPRM, Najib mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada Yayasan Prihatin SPRM, sebagai tanda sokongan terhadap usaha membanteras rasuah di negara ini.
Mohd Haniff turut mempersoalkan penganugerahan biasiswa dan ‘rasuah’ kepada Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Syed Saddiq, agar beliau menentang Mahathir, yang menurutnya adalah satu lagi bentuk dorongan untuk rasuah.

