Paling Popular
Terkini

ULASAN l Baru-baru ini Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mencuri tumpuan apabila Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad membidas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low untuk penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).

Sebaliknya, Dzulkifli berkata menteri itu perlu meminta lebih banyak peruntukan untuk SPRM, meningkatkan aset dan tenaga kerjanya serta memperbaiki kebajikan kakitangan, bukannya menubuhkan sebuah agensi baru.

Kabinet pada 28 Julai bersetuju menaik taraf Bahagian Integriti dan Tadbir Urus di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai jabatan penuh yang dikenali sebagai JITN.

JITN akan berperanan sebagai badan penyelaras untuk menerajui perubahan transformasi dalam sektor awam serta swasta yang menumpukan pada tadbir urus baik, integriti dan hak asasi manusia.

Dzulkifli bagaimanapun menyifatkan penubuhan JITN sebagai bertujuan mengawal SPRM dan membantah keras kewujudan jabatan itu. Malah katanya JITN adalah satu pembaziran yang nyata.

Pelbagai reaksi timbul akibat daripada kenyataan Dzulkifli itu. Ada yang menganggapnya sebagai kenyataan angkuh, biadab dan tidak mengikut saluran yang betul sedangkan ia keputusan kabinet.

Ada yang berkata tindakan menuntut kebebasan penuh untuk SPRM itu adalah baik. Ada yang bersetuju bahawa penubuhan JITN akan menyebabkan Malaysia mempunyai lambakan agensi kerajaan yang bertujuan membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Bangkai dinosaur

Bagi saya, sementara karenah birokrasi, soal aset dan tenaga kerja SPRM serta tatacara peranan pembanterasan rasuah dan salah guna kuasa tidak kurang pentingnya, namun bukankah ada sesuatu yang lebih besar yang dihadapi negara sekarang yang perlu diberi tumpuan?

Ia tidak lain dan tidak bukan, skandal 1MDB. Ia umpama bangkai dinosaur di hadapan mata tetapi tidak mampu dibuang selama bertahun-tahun lamanya.

Skandal sehingga menyebabkan negara kehilangan wang berpuluh bilion ringgit daripada dana awam seperti KWSP, KWAP dan Tabung Haji. Skandal yang disiasat di banyak negara lain tetapi tidak di Malaysia.

Skandal yang mendapat perhatian Jabatan Keadilan Amerika Syarikat sehingga membuka kertas siasatan jenayah.

Skandal yang menyebabkan prestasi ekonomi negara tidak sebaik yang diuar-uarkan. Skandal yang menyebabkan maruah negara tercalar dan negara dipandang rendah oleh dunia.

Skandal yang menyebabkan mereka yang menjalankan siasatan atau mempersoalkannya dikenakan tindakan tetapi mereka yang dipersoalkan serta didakwa terlibat belum disoal siasat mahupun ditahan.

Tan Sri Muhyiddin Yasin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Gani Patail dipecat sebagai Peguam Negara dan ramai pegawai kanan atasan daripada SPRM ditukar.

Skandal yang melibatkan MO1 iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri, berkenaan RM2.6 bilion dan RM42 juta wang SRC International Bhd (bekas anak syarikat 1MDB) yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Skandal yang menyebabkan Jawatankuasa Tindakan Khas peringkat tertinggi yang diketuai Abdul Gani Patail bersama dengan pegawai daripada SPRM, polis dan Bank Negara Malaysia turut dibubarkan.

Amatlah jelas campur tangan Datuk Seri Najib dalam isu 1MDB sukar untuk dilindungi lagi apabila beliau sendiri terlibat sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, beliau sendiri memecat TPM dan Peguam Negara dan beliau sendiri didakwa mengarahkan siasatan ke atas 1MDB dihentikan.

Anehnya, apabila saya teliti kembali ucapan Datuk Seri Najib dalam persidangan Invest KL pada bulan Julai lalu, saya fikir itulah lawak jenaka terkemuka tahun ini.

Mana siasatan 1MDB?

Beliau mengaku terdapat kecuaian dan kelemahan dalam tadbir urus 1MDB serta bertekad untuk menanganinya dengan mengarahkan siasatan “yang belum pernah dilakukan” dalam sejarah negara.

Sekarang sudah masuk bulan Oktober, sudah hampir tiga bulan ucapan itu dibuat. Mana siasatan “yang belum pernah dilakukan” dalam sejarah negara itu?

Dalam pada itu, pada 1 Oktober lalu ketika program sambutan 50 tahun SPRM, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan peruntukan segera RM5 juta kepada Yayasan Prihatin SPRM yang berperanan menjaga kebajikan warga SPRM.

"Sebagai simbol sokongan saya kepada SPRM, sukacita saya bagi pihak kerajaan mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk Yayasan Prihatin SPRM," katanya.

Pemberian ini, walaupun dikatakan untuk menjaga kebajikan warga SPRM, menimbulkan spekulasi dan syak wasangka kepada umum berkenaan motifnya.

Adalah benar bahawa kebajikan anggota SPRM wajar diambil berat namun dalam keadaan di mana kerajaan yang dipimpin oleh Najib terpalit dengan skandal 1MDB, maka penerimaan ini lebih wajar ditolak oleh SPRM.

Jika SPRM ingin membuktikan kebebasan dan profesionalismenya dalam perjuangan memerangi rasuah dan salah guna kuasa maka skandal 1MDB ialah ibu kepada segala skandal rasuah dan salah guna kuasa yang perlu disiasat.

Fungsi SPRM

Ketua Pesuruhjaya SPRM boleh tegas dalam membantah penubuhan JITN dan boleh bertegas dalam menolak peruntukan segera RM5 juta itu. Tetapi beliau juga harus bertegas dalam soal siasatan ke atas 1MDB.

Saya percaya, dan saya yakin rakyat juga faham bahawa punca masalahnya bukan terletak atas SPRM semata-mata atau agensi kerajaan yang lain. Puncanya ialah Najib dan pemimpin Umno BN yang mengamalkan kleptokrat atau perompak wang rakyat. Meskipun kini terdengar banyak kes rasuah yang disiasat namun kes terbesar seperti 1MDB masih terlepas.

Kesannya tetap dirasai oleh rakyat kerana dana rakyat telah digunakan untuk menyelamatkan 1MDB sedang rakyat terpaksa membayar cukai GST dan harga barang yang mahal serta menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

Sebagai agensi yang benar-benar bebas dan profesional, SPRM mestilah melapor kepada parlimen, mempunyai kuasa pendakwaan dan diperuntukkan kewangan, sumber tenaga dan kemampuan pengambilan pegawai-pegawai terbaik untuk memastikan rasuah dan salah guna kuasa dapat diperangi dan dibanteras secara habis-habisan tanpa ancaman, ugutan atau tekanan.


Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan,PKR.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS