Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Beri IC khas pada anak tak sah taraf'
Diterbitkan:  Oct 3, 2017 12:05 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Kerajaan sepatutnya memiliki mekanisme untuk memastikan nasib dan masa depan golongan anak tidak sah taraf di negara ini terbela, kata Ketua Wanita AMANAH, Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan sewajarnya terutama memberikan status kewarganegaraan kepada golongan berkenaan menerusi pemberian kad pengenalan khas atau dokumen pengenalan diri yang lain.

"Hal ini penting bagi membolehkan mereka membina kehidupan baru selepas keluar dari pusat kebajikan terutamanya untuk mencari pekerjaan, cuba mendapatkan peluang pendidikan atau memohon bantuan yang sesuai dari Kerajaan.

"Saya bimbang sekiranya masalah ini tidak ditangani segera, nasib kumpulan itu akan terdedah menjadi mangsa jenayah perdagangan manusia. Hak-hak mereka sebagai pekerja dan manusia terjejas, dieksploitasi sebagai pelacur, buruh paksa dan seumpamanya," katanya yang juga anggota parlimen Kota Raja.

Beliau mengulas gesaan Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak), Muhammad Khairul Hafiz Abdullah baru-baru ini agar kerajaan memandang serius nasib anak tak sah taraf, antaranya masih tiada status warganegara dan merempat di negara ini.

Khairul mendakwa ada di kalangan mereka yang tidak mendapat status warganegara sukar mendapatkan pekerjaan sehingga terpaksa melacurkan diri untuk menyara kehidupan.

Bulan lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata sejak 2006 sehingga 30 Jun tahun ini, terdapat 543,363 anak dilahirkan dengan status berkenaan.

Status itu diberikan terhadap anak dilahirkan dalam perkahwinan yang tidak mengikut peraturan dan anak luar nikah untuk pasangan Islam, selain anak yang tidak diketahui identiti ibu bapanya.

Menurut Dr Mariah, beliau terkilan kerana masalah seperti ini seperti sukar ditangani oleh kerajaan dan kementerian yang bertanggungjawab.

"Saya mengharapkan supaya urusan kebajikan dan pemberian hak warganegara kepada golongan yang berhak dan perlukan perhatian ini dilakukan secara saksama, telus dan menyeluruh bagi memastikan kedudukan mereka terjamin dalam negara ini," katanya.

 

 

Lihat Komen
ADS