Mahkamah arah ‘wanita belon kuning’ bela diri
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Bilqis Hijjas, 38, untuk membela diri berhubung tuduhan kelakuan menghina kerana melepaskan belon kuning pada majlis yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor pada Ogos 2015.
Belon yang dilepaskan itu antaranya tertulis perkataan "democracy", "justice", "free media" yang kemudian dipecahkan oleh pengawal keselamatan.
Pada Julai tahun lalu, Majistret Mohd Faizal Ismail membebaskannya dengan alasan pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti mencukupi bagi pertuduhan tersebut di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Namun hakim Mahkamah Tinggi Datuk Indera Mohd Sofian Abd Razak hari ini memutuskan bahawa keputusan majistret itu adalah salah.
Beliau mendapati Bilqis melepaskan belon dari tingkat kelima ke tingkat dua di pusat membeli belah Pavilion di ibu negara dalam acara dihadiri Najib bersama Rosmah pada 31 Ogos 2015.
Walaupun peguam Bilqis, Eric Paulsen berhujah bahawa belon itu tidak ditujukan kepada sesiapa dan tidak disedari oleh hadirin kecuali pengawal keselamatan dan anggota polis, hakim berkata cara belon dilepaskan menunjukkan dengan jelas ia ditujukan pada tetamu kehormat.

