Penganjur festival F&B tunggu saranan pihak berkuasa
Pihak penganjur 'festival makanan dan minuman (F&B) Jerman' sedang menunggu saranan daripada pihak berkuasa sebelum membuat keputusan untuk meneruskan majlis mereka atau tidak.
Pihak pengurusan pusat beli-belah Centro Mall di Klang, Selangor tempat festival itu dijadualkan bakal berlangsung berat hati untuk membayangkan sebarang kemungkinan apabila dihubungi hari ini.
"Pihak pengurusan Centro Mall sedang menunggu saranan daripada pihak berkuasa," seorang juru cakap pusat beli-belah itu memberitahu Malaysiakini, enggan mengesahkan jika pihak berkuasa yang dimaksudkan itu ialah Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Suatu mesyuarat akan diadakan berhubung majlis tersebut, tambah juru cakap itu lagi.
Dilaporkan pihak penganjur telah mendapat kebenaran untuk festival itu daripada MPK dan balai polis daerah Klang Utara. Kemudiannya, dilaporkan ketua polis daerah Mazelan Paijan berkata sebarang surat kelulusan daripada polis untuk festival ini adalah palsu.
Mazelan dipetik Bernama sebagai berkata pihak polis menurut arahan timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahidi agar memastikan tiada festival alkohol yang dianjurkan.
Semalam, exco kanan Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata pihak penganjur akan meneruskan festival tersebut kerana mereka telah mendapat permit sementara daripada MPK.
Majlis tersebut dijadualkan pada 12 Oktober dan 13 Oktober 2017 ini mendapat bantahan daripada PAS Selangor yang mendakwa ia akan menjadi 'festival alkohol'.
Majlis yang sama diadakan tahun lalu berlangsung tanpa sebarang kejadian.

