Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah mangkat di Petaling Jaya, Selangor pada pukul 5.07 petang tadi, demikian diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Zambry berkata jenazah Raja Nor Mahani, 74, akan disemayamkan di Istana Al-Ridhuan di Ipoh sebelum dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.
Beliau berkata rakyat jelata boleh memberi penghormatan terakhir mulai pukul 10 pagi hingga 11.30 pagi, manakala bagi pembesar negeri dan orang kenamaan bermula pukul 11.30 pagi.
"Sebagai tanda bersedih dan dukacita dengan titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, negeri Perak akan berkabung sehingga selesai pemakaman dan bendera negeri hendaklah dikibarkan separa tiang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam pengumuman rasmi di sini, malam ini yang turut disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen RTM1.
Zambry berkata beliau mewakili seluruh rakyat negeri Perak merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhumah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan para solehah.
Raja Nor Mahani, merupakan isteri Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, 76, dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Raja Shah Azman, 43, dan Raja Nor Azwina, 41.
Dilahirkan pada 1942, Almarhumah dimashyurkan sebagai Raja Puan Besar Perak pada 2014 di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.
Almarhumah merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua, Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
-Bernama
