Sim dan Maria didakwa lagi sertai perhimpunan haram
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah dan aktivis Mandeep Singh dihadapkan ke di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur terhadap tuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan Kita Lawan pada 2015.
Mereka yang minta dibicarakan, berdepan dengan tuduhan yang sama bagi kali kedua selepas dilepas tanpa dibebaskan pada 28 Ogos.
Majistret Ahmad Solihin membenarkan ikat jamin RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin. Mahkamah kemudian menetapkan 3 November depan untuk sebutan semula kes itu.
Maria, Sim dan Mandeep didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan antara pukul 3.15 petang hingga 6 petang pada 28 Mac 2015, dari air pancut di Jalan Tun Perak ke Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Jika sabit kesalahan, mereka masing-masing boleh didenda RM10,000.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menyertai protes jalanan itu antaranya bagi tujuan Reformasi dan Bebaskan Anwar dan Bebas Berhimpun Bebas Bersuara.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.
Pada 8 September 2015, mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan yang sama.
Pada 28 Ogos lalu, mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan yang mengendalikan kes terbabit gagal hadir pada hari pertama perbicaraan kes.

