Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakar forensik: Ubat mati pucuk dalam darah Jong-nam
Diterbitkan:  Oct 4, 2017 5:57 PM
Dikemaskini: Oct 5, 2017 4:46 AM

Ubat mati pucuk merupakan salah satu daripada enam ubat yang diambil Kim Jong-nam, kata pakar forensik pada hari kedua perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Menurut laman Free Malaysia Today, Ketua Bahagian Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Shah Mahmood berkata pengambilan ubat itu dikesan dalam darah Jong-nam selepas ujian dilakukan.

Katanya, enam jenis ubat itu diambil Jong-nam itu bagi merawat kencing manis, darah tinggi dan gout.

Dr Mohd Shah yang menjadi saksi ke-6 perbicaraan menjawab soalan peguam tertuduh Siti Aisyah, Gooi Soon Seng berhubung jenis-jenis ubat yang ada dalam tubuh Jong-nam.

Ia bagi membuktikan kematiannya bukan disebabkan bahan kimia beracun XV seperti didakwa, tetapi kerana beberapa punca lain, kata laporan itu lagi.

Siti Aishah, 25, dan seorang lagi tertuduh, Doan Thi huong, 28, didakwa membunuh abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un itu di Balai Pelepasan KLIA2, pada kira-kira pukul 9 pagi 13 Februari 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Doan diwakili peguam Hisham Teh Poh Teik.

Dr Mohd Shah menegaskan bahan kimia XV tertumpu di bahagian mata dan muka mangsa.

“Antara lendiran mata dan kulit, kadar serapan agen saraf VX lebih cepat melalui lendiran mata,” katanya seperti dipetik.

Beliau juga memaklumkan, laporan Jabatan Kimia mengenalpasti 5 sampel yang diuji positif untuk XV, iaitu kapas muka, air kencing, lendiran mata, darah dan plasma.

Jong-nam didakwa diserang ketika menunggu penerbangan ke Macau. Dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital di Putrajaya.

Siti Aisyah dan Doan ditangkap polis beberapa hari kemudian.

Lihat Komen
ADS