Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan dakwaannya bahawa individu yang dirujuk sebagai 'H' di Pejabat Perdana Menteri (PMO) benar-benar wujud dan menjadi orang kanan Datuk Seri Najib Razak.

“Memang sudah sedia maklum dia ini orang kanan perdana menteri.

“Saya rasa inilah hakikat yang paling penting.

“Berhentilah mainkan isu-isu teknikal,” kata Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad hari ini dilaporkan berkata 'H' yang didakwa cuba menyogok Syed Saddiq dengan geran RM5 juta itu tidak wujud pun di PMO.

Katanya, Najib juga tidak mempunyai penasihat kanan yang dirujuk itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Syed Saddiq juga ditanya sama ada individu itu berkhidmat secara rasmi dengan PMO,

Bekas pendebat terbaik Asia itu bagaimanapun tidak menjawab dengan jelas.

Syed Saddiq sebaliknya berkata beliau menyerahkan perkara itu untuk siasatan polis.

Beliau bagaimanapun berkata H adalah seorang “ahli perniagaan yang tidak pernah muncul secara terbuka”.

Beliau juga berkata penafian Tengku Sarifuddin itu menggunakan taktik yang sama untuk menjarakkan 1MDB dengan hartawan kontroversi Jho Low sebelum ini.

Dia menggesa meminta "H" tampil ke hadapan dan menafikan tuduhan-tuduhan itu.

Sebelum ini, Syed Saddiq mendakwa beliau diumpan RM5 juta oleh penasihat kanan Najib untuk meninggalkan BERSATU dan melanjutkan pengajian ke Universiti Oxford dengan biasiswa RM400,000.

Tawaran melalui orang tengah itu dikatakan termasuk dana memulakan sekolah debat sendiri di seluruh negara.