Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS memang boleh bersama Umno jika...
Diterbitkan:  Oct 5, 2017 1:04 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Setiap kali dituduh bakal bekerjasama dengan Umno, PAS akan bertegas membuat penafian.

Di mata PAS, Umno dan BN tetap musuh mereka.

Ketika bahang politik kian panas, Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari bagaimanapun 'membenarkan' kemungkinan kerjasama itu.

Namun ia bukanlah semudah yang disangka dan keadaan untuk memungkinkan kerjasama itu pula bersyarat.

"Jika ditanya kemungkinan Umno akan bersama dengan PAS, jawapannya ialah: ya (iaitu) apabila Umno memenangi kerusi yang lebih sedikit (kecil) berbanding PAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadhli membuat kenyataan itu sebagai mengulas kata-kata ketua penerangan Umno semalam.

Tan Sri Annuar Musa meramalkan kerjasama antara PAS dan Umno akan terbentuk dari semasa ke semasa kerana kedua-dua parti itu mempunyai DNA (asid desksiribonukleik) yang sama.

Kata Annuar walaupun PAS menjunjung ideologi dan cara yang berbeza, namun parti itu mempunyai DNA dan matlamat yang sama dengan Umno iaitu memperjuangkan kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

DNA Umno tercemar

Katanya, jika dahulu PAS dilihat mencari-cari perbezaan antara parti itu dengan Umno, kini di bawah pucuk kepimpinan PAS yang ada sekarang ada sedikit perubahan berlaku apabila mereka mula mencari titik kebersamaan itu.

"Oleh kerana PAS itu daripada DNA yang sama maka saya berkeyakinan dia ada titik pertemuan. Selama mana pun dia pergi, dia tidak akan berjalan selari...akan ada titik pertemuan. Maka bagi kita titik persamaan ini marilah kita meraikannya.

“Ia tidak bermakna PAS masuk Umno (atau) Umno masuk PAS, tidak bermakna PAS semestinya menyertai BN," katanya di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Pengkritik mengecam PAS yang didakwa semakin lunak kepada Umno berbanding sikap mereka terhadap Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ahmad Fadhli berkata Pemuda PAS "sangat gembira" dengan kenyataan Umno itu kerana ia memberi isyarat bahawa tidak menjadi masalah untuk pengundi Umno memilih PAS dalam pilihan raya akan datang.

Namun bagi pengundi PAS, katanya, sangat menyedihkan jika mereka mempercayai kata-kata Annuar.

"Walaupun DNA Umno dan PAS ada beberapa persamaan, namun DNA Umno sudah cukup tercemar.

"Ia disahkan positif dan dijangkiti pelbagai virus dan kuman sepanjang mentadbir negara," katanya lagi.

Justeru kata Ahmad Fadhli pengundi PAS wajib terus istiqamah dengan parti itu yang didakwanya mempunyai DNA masih suci bersih dalam sejarah pentabdiran negara.

Dia juga berkata kemungkinan Umno akan bersama PAS disebabkan parti itu tidak biasa menjadi pembangkang.

Tanpa kuasa, katanya, Umno tidak akan dapat hidup lama kecuali mendapat bantuan pernafasan.

"Ternobat sahaja Umno sebagai pembangkang, tamatlah riwayat Umno dan ahli-ahli parlimen atau dewan undangan negeri yang masih menang akan mencari dahan-dahan baru untuk berpaut," katanya.

Lihat Komen
ADS