Penganggur dipenjara 10 tahun liwat 2 kanak-kanak
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Johor Bharu hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan merangsang seorang kanak-kanak lelaki untuk melakukan kelucahan melampau dan meliwat seorang kanak-kanak lelaki, Jun lepas.
Hakim Mohammad Khalid Ab Karim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Azizi Firdaus Abu Samah, 25, yang masih bujang selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Azizi Firdaus yang berasal dari Kota Tinggi didakwa merangsang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau di sebuah rumah di Taman Muhibah Saleng, dekat Kulai, kira-kira 12 tengah hari, Jun lepas.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun di Medan Selera Penjaja, Bandar Putra dekat Kulai, kira-kira 10 malam, 21 Jun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi'uddin yang memohon mahkamah menetapkan hukuman setimpal demi kepentingan awam.
Mohammad Khalid menetapkan Mohd Azizi Firdaus dikenakan hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama manakala enam tahun penjara dan dua sebatan bagi pertuduhan kedua dengan kedua-dua hukuman itu berjalan berasingan mulai tarikh tangkapan 22 Sept lepas.
Hakim turut menasihati tertuduh yang tidak mengenali keluarga kedua-dua mangsa supaya memohon maaf kepada mereka.
- Bernama

